KUALA LUMPUR 2 Julai – Majlis Belia Malaysia (MBM) membidas syarat kelonggaran lulus bahasa Melayu diumumkan Kementerian Kesihatan yang disifatkan sebagai menolak kepentingan bahasa kebangsaan itu dalam sistem pentadbiran kementerian berkenaan.
Menurut Presidennya, Muaamar Ghadafi Jamal Jamaludin, kenyataan terbaharu yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noorhisham Abdullah itu juga dilihat kurang rasional dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, pentuturan dan pendidikan negara.
“MBM membantah syarat kelonggaran lulus bahasa Melayu seperti yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan kerana selain daripada memperlekehkan martabat bahasa kebangsaan yang dikandung dalam Perlembagaan Negara, ia juga dilihat sebagai langkah ke belakang kementerian itu dalam aspirasi perpaduan negara.
“Alasan kelonggaran syarat itu hanya untuk lantikan kontrak juga adalah tidak relevan kerana ia seolah-olah menggalakkan bakal graduan khasnya dan generasi muda amnya memandang remeh kepentingan bahasa Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan berkenaan kelonggaran kepada syarat lulus mata pelajaran bahasa Melayu di peringkat SPM yang diberikan kepada graduan perubatan yang berkelayakan untuk dilantik secara kontrak.
Jelas Muaamar Ghadafi lagi, MBM sebagai sebuah gabungan pertubuhan belia pelbagai kaum begitu komited memperjuangkan keistimewaan dan kedudukan Bahasa Melayu yang sudah termaktub di dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta 32 Bahasa Kebangsaan 1963/67.
Ujarnya, bahasa Melayu teras perpaduan dan integrasi nasional dalam menyatukan belia pelbagai latar belakang di negara itu semestinya sentiasa dijulang dan bukannya diperkotak katikkan.
“Saya tidak faham rasional di sebalik kelonggaran itu kerana ketika negara maju seperti Jepun, Jerman dan Korea (sekadar menyebut beberapa contoh) menjadikan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa utama, bahasa pendidikan dan bahasa industri… kita pula menongkah arus memperkecilkan peranan bahasa sendiri,” katanya.
Kata Muaamar Ghadafi, jika Kementerian Kesihatan mempunyai pelbagai isu seperti lambakan graduan perubatan, tekanan kerja para doktor dan sebagainya, mereka sepatutnya memberi fokus utama dalam menyelesaikannya dan bukan mencipta satu perkara baharu yang tidak relevan langsung.
“Kementerian Kesihatan sepatutnya memikirkan apakah mekanisme terbaik untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu perubatan dan bukan meminggirkannya,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/mbm-bidas-kementerian-kesihatan-1.696021