Yang Dipertuanya, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, perkara tersebut dilihat semakin serius apabila salah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang juga menghuni bangunan tersebut diberikan notis pengosongan hujung tahun lalu.
“NGO tersebut merupakan badan gabungan MBK, mereka telah keluar daripada bangunan ini selepas mendapat notis pengosongan, maka kami berharap agar kerajaan negeri mempertimbangkan permohonan MBK untuk ambil alih bangunan ini dan membangunkannya untuk kebaikan dua-dua pihak,” katanya.

Menurutnya, MBK telah pun mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob tahun lalu bagi menyelesaikan isu tersebut, termasuk menghantar surat susulan untuk mendapatkan maklum balas dari kerajaan.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan itu juga memberitahu, namun sehingga kini, kerajaan negeri tidak memberi sebarang jawapan.
“Pertemuan sebelum ini, MBK dimaklumkan, jika tidak mendapat hak memajukan bangunan tersebut, MBK mungkin disediakan pulangan iaitu mungkin mendapat bangunan lain atau tanah lain untuk kelangsungan badan kami.
“MBK akan menerima dengan terbuka sebarang cadangan yang akan dikemukakan pihak kerajaan, malah jika diberikan hak meneruskan kelangsungan di bangunan lama ini, pelbagai pembaharuan akan dilakukan dan kertas kerja telah pun disediakan untuk dimajukan kepada pihak kerajaan,” katanya.
Syahbuddin turut membayangkan beberapa kemudahan lain akan disertakan dalam projek pembangunan baru MBK iaitu mengumpulkan skop-skop aktiviti anak muda bagi mengelakkan gejala sosial berleluasa.
“Kita mahu jadikan bangunan MBK ini memberi manfaat kepada anak-anak muda negeri, maka kerjasama kedua-dua kerajaan amat diperlukan bagi melaksanakan impian ini.
“Kita tidak mahu anak-anak muda ini tiada tempat untuk mengadu dan tiada panduan aktiviti yang berguna sehingga mengakibatkan budaya dadah menguasai mereka,” katanya.