MAJLIS BELIA MALAYSIA

Kuasa politik mahasiswa: Jangan salahkan Auku

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN
27 Februari 2013
Wacana Sinar Kuasa Politik Mahasiswa

SHAH ALAM – Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bukanlah penghalang kepada mahasiswa untuk bersifat kritis dan kritikal terhadap dasar-dasar kerajaan jika ada yang tidak dipersetujui.

Ia juga tidak menghalang mahasiswa untuk bergiat dalam politik, kata pengalisis politik, Profesor Dr Azmi Hassan.

Bahkan akta berkenaan tidak pernah merugikan negara dari segi modal insan, walaupun ia terus dijadikan kambing hitam oleh mereka yang kolot dalam menilai perihal mengenainya.

“Selalunya kita menyalahkan Auku kerana kita lihat kejumudan aktivis-aktivis pelajar itu sendiri.

“Bagi saya Auku itu hanya dijadikan kambing hitam kenapa pelajar universiti begitu jumud apabila berhadapan dengan masalah politik, masalah sosial, bukan sebab Auku,” tegas beliau pada Wacana Sinar ke-17 bertajuk Kuasa Politik Mahasiswa.

Pandangan sama turut dikongsi oleh bekas aktivis pergerakan mahasiswa, Tun Faisal Ismail Aziz.

“Saya juga produk yang dilahirkan daripada sistem pendidikan yang ada Auku di dalamnya.

“Kalau diambil apa yang dikatakan oleh moderator, saya juga dianggap pembaziran. Saya tidak fikir begitu,” ujar beliau.

Moderator, Profesor Datuk Mohamad Abu Bakar menimbulkan persoalan apakah Auku yang dilaksanakan oleh kerajaan telah merugikan negara dari segi modal insan apabila ia membebankan mahasiswa sejak begitu lama.

Menurut Tun Faisal, perkara seperti itu tidak berlaku malah dari semasa ke semasa, transformasi yang dilakukan oleh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan ruang sepenuhnya kepada mahasiswa untuk terbabit dalam kancah politik hatta boleh menjadi calon dalam pilihan raya setelah ia dipinda baru-baru ini.

“Dulu mereka boleh memberi sokongan secara senyap-senyap, sekarang mereka boleh memberi sokongan secara terbuka,” ujar beliau.

“Tidak mungkin kita hendak memberi kebebasan kepada lebih ramai rakyat untuk menyuarakan pendapat, dalam masa yang sama kita ada sesuatu yang menyekat,” tambah beliau.

Justeru tegasnya,  bila keadaan sudah berubah, maka tidak ada sebab lagi mengapa Auku itu harus dilihat sebagai akta yang menyekat kebebasan mahasiswa.

“Bila ini sudah menjadi medan yang terbuka, pada saya tidak ada lagi masalah kepada mahasiswa untuk mendapat kesedaran politik, walaupun ada Auku,” ujar beliau.

Namun pandangan itu disanggah oleh Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mempertikaikan campur tangan pihak tertentu dalam pengurusan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sehingga membawa kepada penerapan dasar-dasar kerajaan di pusat-pusat pengajian.

“Kalau hendak cakap tentang non-partisan, kita kena bersifat adil. Bila saya berada di luar negara, kelab Umno hidup subur.

“Tetapi apabila saya bawa YB Nurul Izzah, saya dapat amaran daripada penaja saya,” katanya.

Pakatan Rakyat katanya, konsisten untuk memansuhkan Auku jika gagasan itu mara ke Putrajaya kelak.

Kuasa lebih besar akan diberikan kepada pihak IPT tanpa campur tangan kerajaan dalam memastikan budaya akademik dapat berkembang secara tulen.

Sementara menurut Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia, Muammar Ghadafi Datuk Jamal pula, MBM adalah NGO yang menepati aspirasi anak muda masa kini walaupun ia tidak mewakili keseluruhan belia negara.

Pertubuhan badan bukan kerajaan itu katanya memperjuangkan apa jua isu belia tidak kira sama ada ia mirip kerajaan atau memihak pembangkang asalkan ia tidak melanggar Perlembagaan.

“Apa sahaja aspirasi orang muda adalah aspirasi MBM.

“Untuk mengatakan siswa ini sokong BN atau PR tak adil,” katanya.

Beliau juga menangkis dakwaan kononnya mahasiswa adalah lemah dan bendul.

“Saya tak setuju kenyataan Profesor Mohammad Abu Bakar,” kata Muammar.

Getusnya, beliau amat “terasa dengan kenyataan itu”.

Hal ini kerana katanya, mahasiswa adalah golongan yang berilmu dan intelek.

Sementara Presiden Gabungan Mahasiswa Islam (Gamis), Azan Safar pula berkata, Auku seolah-olah mendidik mahasiswa ke arah acuan yang diingini pihak tertentu.

“Saya berikan analogi seekor harimau atau pun seekor singa yang garang diberikan satu latihan di dalam sarkas, peringkat permulaan singa itu memang sukar untuk dijinakkan tetapi selepas 10 ke 20 tahun,  akhirnya natijahnya apa?

“Kalau kita buka zoo itu sekalipun, singa itu tak akan lari kerana patuh kepada tuannya,” tegas Azan.

Azan juga membidas bagaimana tenaga pengajar juga disekat daripada bersuara apa sahaja yang berkaitan dengan politik.

“Pensyarah dikekang, tak boleh cakap tentang politik kena bercakap secara akademik menyebabkan seolah-olah timbul satu pemisahan daripada bidang politik dan akademik.

“Sedangkan politik itu juga sebahagian daripada akademik yang harus kita tahu,” ujar Azan lagi.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »