KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menafikan ada program Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hanya menyasarkan belia golongan elit dan meminggirkan belia golongan bawahan seperti tanggapan segelintir pihak.
Beliau sebaliknya berkata program seperti ‘Fit Malaysia’ misalnya mengetengahkan aktiviti yang boleh disertai oleh semua peringkat golongan termasuk belia di luar bandar.
“Itu tanggapan yang tidak benar, program-program yang kita jalankan adalah merentasi segala peringkat, kaum dan latar belakang sosioekonomi.
“Jika ada yang beranggapan aktiviti ‘Fit Malaysia’ misalnya hanya ada aktiviti zumba, kita juga adakan aktiviti kayuhan basikal, silat, silambam dan pelbagai lagi yang tidak memerlukan alatan atau kos,” katanya menjawab soalan ketika menjadi tetamu program ‘Dalam Radar’ di Radio 24 di sini hari ini.
Malah beliau berkata sebahagian besar peruntukan KBS ialah bagi melaksanakan program untuk belia di pinggir bandar dan luar bandar dalam setiap parlimen.
Khairy berkata peruntukan tersebut ialah bagi penubuhan Kelab Sukan setiap parlimen juga membina dan menyelenggara gelanggang futsal bagi memastikan golongan belia di luar bandar juga berpeluang bersukan dan beriadah.
“KBS juga dah banyak membina Gimnasium Rakyat, namun kekangan kewangan sekarang agak mengehadkan bilangan gim ini, tetapi kita cuba sedaya upaya menyediakan pelbagai program bagi golongan belia ini,” katanya.
Mengulas mengenai program gelombang ‘Fit Malaysia’, Khairy berkata ia diperkenalkan baru-baru ini bertujuan menyasarkan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan dan menurunkan kadar obesiti serta penyakit seperti kencing manis dan penyakit jantung dalam kalangan rakyat.
Malah, katanya ia juga bagi mencungkil pelapis sukan dalam kalangan belia melalui aktiviti yang dijalankan.
“Kita menyasarkan agar 50 peratus rakyat negara ini terlibat dengan sukan berbanding 30 peratus berdasarkan kajian yang kita jalankan pada 2009.
“Kempen ini diyakini mampu enjadikan rakyat Malaysia generasi yang suka bersukan melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan,” katanya. – Bernama