MAJLIS BELIA MALAYSIA

Kenyataan Kuan Yew hanya peribadi tetapi bersifat sensasi’

 

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Rakyat negara ini diminta supaya tidak mudah ‘melatah’ terhadap kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew yang mengkritik sistem yang diamalkan di sini kerana ia hanya kenyataan peribadi yang bersifat sensasi.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, Kuan Yew memang suka mensensasikan sesuatu perkara walaupun ia tidak ada kena mengena langsung dengan beliau.

Katanya, pada masa yang sama, Menteri Mentor Singapura itu juga cuba menunjukkan bahawa beliau masih relevan dan setiap pendapatnya boleh diterima pakai oleh semua pihak.

“Justeru, saya berharap agar rakyat negara ini tidak melayan kenyataan Kuan Yew yang hanya bercakap ikut sedap mulut sahaja.

“Sepatutnya, bekas Perdana Menteri Singapura itu perlu menilai diri dan negaranya terlebih dahulu sebelum bercakap tentang negara lain,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Kuan Yew dalam akhbar New York Times pada 1 September lalu yang mengkritik sistem diamalkan di negara ini dan menuduh Malaysia tidak berlaku adil serta menyisihkan kaum lain.

Dalam temu bual itu juga, Kuan Yew membayangkan Malaysia mungkin menjadi lebih baik jika tidak berpisah dengan Singapura kerana republik itu kini telah mencapai tahap yang membanggakan dalam hubungan kaum.

Dalam pada itu, pakar hubungan antarabangsa, Prof. Madya Dr. Ahmad Faiz Hamid turut sependapat dengan Mohamed Maliki dan menyifatkan kenyataan Kuan Yew itu tidak benar sama sekali.

Katanya, bekas Perdana Menteri Singapura itu sebenarnya cuba menafikan apa yang berlaku di negaranya sendiri dan menjadikan negara ini sebagai mangsa.

“Sehubungan itu, saya berharap agar isu ini tidak diperbesarkan lagi kerana ia hanya akan mengeruhkan hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Singapura,” katanya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »