MAJLIS BELIA MALAYSIA

Kebebasan akademik untuk Dr Che Hamdan Che Mohd Razali

Majlis Belia Malaysia (MBM) merujuk kepada satu kenyataan dan surat terbuka yang telah dikeluarkan oleh Koordinator Alumni FSPPP Universiti Teknologi MARA (UiTM) Raub, Saudara Ronnie Anak Anthony bertarikh 19 Januari 2021 yang mana menuntut satu penjelasan dari pihak UiTM berkenaan status Penolong Rektor UiTM Raub, Dr. Che Hamdan yang didakwa telah dipaksa untuk melepaskan jawatan Penolong Rektor dan dipaksa menulis surat perletakan jawatan sebagai Penolong Rektor pada 28 Disember 2020.

Sebagai satu Universiti yang ternama dan berjasa kepada anak bangsa, maka MBM melihat UiTM seharusnya mengambil serius kenyataan dan dakwaan yang telah dikeluarkan oleh Saudara Ronnie berkenaan. Sekiranya benar, maka seharusnya satu tindakan tegas harus dilakukan oleh UiTM bagi memastikan nama baik UiTM tidak tercalar.

Antara dakwaan lain juga ialah desakan yang dikenakan untuk Penolong Rektor UiTM Raub, Dr. Che Hamdan meletakkan jawatan yang dipegang beliau adalah kerana kebenaran yang telah diberikan beliau untuk pelajar Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) bagi mengadakan lawatan sambil pelajar ke pejabat parti politik tertentu. Ini adalah satu perkara yang jelas bertentangan dengan kebebasan akademik yang dilaung-laungkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Lawatan sambil belajar ke pejabat mana-mana parti oleh pelajar Fakulti yang sememangnya mendalami ilmu sains politik dan pengajian polisi bukanlah satu perkara yang janggal atau mendokong parti berkenaan, sebaliknya untuk memahami dengan lebih dekat perjalanan demokrasi dalam negara ini.

Universiti seharusnya bebas daripada sebarang pegangan politik, dan juga tidak menghukum mana-mana pegawainya atas alasan berpihak kepada mana-mana pegangan politik. Apatah lagi seorang pensyarah yang ingin memberikan pendidikan yang terbaik untuk mahasiswanya.

Oleh itu, MBM mendesak untuk satu siasatan yang telus diadakan bagi menyiasat dakwaan yang dikeluarkan oleh Saudara Ronnie dan sekiranya Dr. Che Hamdan didapati tidak bersalah, MBM menuntut agar jawatan Dr Che Hamdan dikembalikan semula.

MOHD IZZAT AFIFI HJ ABDUL HAMID

Pengerusi Biro Pendidikan MBM

merangkap;

Naib Presiden Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 21 Januari 2021

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »