Majlis Belia Malaysia (MBM) dan badan-badan gabungannya mengambil inisiatif untuk bersama-sama meraikan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada 5 Jun setiap tahun dengan menjalankan 20 siri program sepanjang bulan Jun di pelbagai lokasi seluruh Malaysia.
Program ini dilaksanakan dengan sokongan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) menerusi inisiatif Rakan Muda x Rakan Bumi.
Sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengangkat prinsip kemampanan sebagai teras pembangunan negara, program ini bertujuan membentuk generasi muda yang peka terhadap isu alam sekitar serta menghidupkan semangat gotong-royong dan kesukarelawanan dalam komuniti.
Pelbagai aktiviti termasuk gotong-royong, penanaman pokok dan Buskers Alam Sekitar akan dilaksanakan, menggabungkan elemen seni, alam sekitar dan warisan budaya dalam menyampaikan mesej kelestarian.
MBM percaya pemeliharaan alam sekitar memerlukan penglibatan semua pihak, khususnya belia sebagai pewaris masa depan negara.
Justeru, MBM menyeru seluruh anak muda untuk bersama-sama menyertai sambutan ini dan menjadikan amalan menjaga kebersihan, menghargai alam serta mengamalkan gaya hidup lestari sebagai budaya hidup demi memastikan alam yang lebih hijau dan sejahtera untuk generasi akan datang.
AHMAD FARHAN ROSLI
SETIAUSAHA AGUNG
MAJLIS BELIA MALAYSIA
Bertarikh : 4 Jun 2026