SHAH ALAM, 9 Jun 2012 (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu mengingatkan golongan belia supaya tidak terikut-ikut dengan perbuatan golongan yang menongkah arus dan menjual idealisme tertentu tetapi pada masa yang sama cuba menutup keburukan mereka
Mereka, kata Najib, menjual idealisme kononnya mahu pilihan raya yang bebas dan adil tetapi tidak mementingkan cara matlamat itu dicapai.
Berucap ketika merasmikan Evolusi Kelab Najib Razak (KNR) Pergerakan Belia 4B Malaysia di sini, beliau berkata perubahan tidak akan berlaku sekadar hanya dengan jeritan dan laungan sesuatu slogan atau perhimpunan secara besar-besaran, sebaliknya menerusi kepimpinan politik yang mampu membawa perubahan.
“Tidak ada makna jika kita tuntut pilihan raya yang bebas dan adil tapi kita buat rusuhan jalanan… kita buat rusuhan kita menyerang pihak polis. Itu bukan cara yang baik bagi kita,” katanya.
Sehubungan itu, Perdana Menteri percaya anggota Belia 4B yang merupakan golongan belia yang mempunyai idealisme, mahukan masa depan yang lebih baik untuk mereka, ingin menjadi belia yang menyumbang kepada pembangunan negara serta bertanggungjawab dan berakhlak mulia yang menuntut perubahan dalam bentuk akhlak yang terpuji.
Najib berkata kepimpinan politik yang mampu membawa perubahan adalah faktor yang membezakan sesebuah negara yang berjaya atau negara yang gagal.
Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) hendak memenangi pilihan raya secara bebas dan adil, bukannya menang kerana penipuan, tetapi BN mahu kemenangannya itu berikutan sokongan dan dukungan kuat majoriti rakyat Malaysia.
Justeru, Najib percaya golongan belia pada masa kini telah matang dan memiliki kemampuan berfikir untuk membuat keputusan yang tepat apabila tiba masanya kerana mereka tidak mudah terpesong atau termakan hasutan dan kata-kata manis pihak yang cuba menjual idealisme yang tidak dizahirkan kecacatannya.
Mengenai KNR 4B yag dilancarkannya hari ini, Najib berkata beliau tidak mahu para belia memberi sokongan sehingga taksub kepada beliau, sebaliknya menyokong kerana keyakinan mereka kepada pimpinan semasa negara diterajui beliau yang boleh membawa transfromasi yang besar kepada Malaysia.
“Itu lebih baik daripada kita tatang pemimpin, mendewakan pemimpin, angkat pemimpin secara membuta tuli, tetapi yakinh kepada nilai yang dipegang, yakin kepada agenda nak dibuat,” katanya.
Najib berkata hanya belia yang memiliki akhlak yang mulia lagi terpuji mampu membina masa depan dan mencapai kejayaan besar yang diimpikan oleh rakyat Malaysia.
Katanya akhlak golongan belia yang menjadi penentu kepada masa depan negara ini perlu dijaga dan diperbaiki bagi membolehkan Malaysia terus mencapai perubahan serta kejayaan.
Kira-kira 12,000 anggota Belia 4B menghadiri majlis itu.
Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Ketua Menteri Melaka yang juga Presiden Alumni Belia 4B Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Timbalan Presiden Alumni Belia 4B Datuk Seri Noh Omar dan Presiden MBM Mohamed Maliki Mohamed Rapiee
BERNAMA