KUALA LUMPUR 3 Dis. 2012 – Jika rakyat memilih pembangkang untuk mentadbir negara, jangan mimpi keamanan dan keharmonian akan wujud pada masa akan datang seperti yang dikecapi hari ini.
Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar berkata, rakyat akan terpaksa berdepan dengan keadaan huru-hara, pergaduhan antara kaum, kehidupan yang melarat dan beberapa lagi kemungkinan tidak diingini.
Selaku ‘orang kuat’ dalam beberapa siri demonstrasi jalanan terawal suatu ketika dahulu, Ramlan berkata, pembangkang hanya pandai memporak-perandakan negara dan langsung tiada kemampuan mentadbir negara.
“Apa yang kita nikmati ketika ini sudah baik, kenapa perlu ambil risiko menukar kerajaan?
“Apa yang diberitahu oleh bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim adalah benar, malah saya sendiri pernah bersama-sama dengan mereka. Kami tahu dan faham apa yang berlaku dalam pakatan pembangkang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Tunku Abdul Aziz bahawa cubaan menukar kerajaan merupakan eksperimen berbahaya dan akan memakan diri sendiri.
Sementara itu, Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Anuar Abdul Manap berkata, rakyat tidak perlu menukar kerajaan jika mahukan perubahan kerana pemerintah sedia ada kini lebih bersikap terbuka.
“Buktinya jelas, beberapa transformasi telah dilakukan oleh kerajaan.
“Kerajaan hari ini benar-benar menjiwai rakyat. Kepimpinan pemerintah sekarang bukan sahaja diiktiraf oleh rakyat sendiri, malah pihak-pihak dari luar juga,” katanya.
Anuar juga menasihatkan agar peringatan Tunku Abdul Aziz itu diambil perhatian kerana beliau selaku orang lama dalam pakatan pembangkang, begitu masak dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku sekiranya kerajaan bertukar tangan.
Dalam pada itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee pula berkata, pembangkang sebenarnya terdesak sehingga berkempen kepada rakyat untuk bereksperimen menukar kerajaan.
Menurut beliau, pembangkang cuma mahu merasa berada di Putrajaya tetapi tidak ada perancangan untuk mentadbir negara.
“Rakyat perlu faham apa yang cuba disampaikan Tunku Abdul Aziz.
“Jangan nanti ibarat peribahasa, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna,” katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd