Johor Baharu| 15 Ogos 2020- Majlis Belia Malaysia (MBM) melancarkan Program Latihan Kebolehpasaran PROKENS dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan serta HSBC Bank Malaysia sebagai langkah untuk mengangani isu pengangguran dalam kalangan belia pasca pandemik COVID-19. Majlis Pelancaran yang disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diadakan selari dengan sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2020 di Pusat Persidangan Antarabangsa Persada Johor.
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ketika berucap berkata, beliau memahami bahawa ramai belia yang berdepan dengan masalah seperti kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan susulan daripada penularan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sehingga bulan Mei 2020, kadar pengangguran di negara ini telah meningkat kepada 5.3% berbanding 3.9% pada bulan Mac 2020.
Selain itu, dalam ucapan ketika HBN 2020, Presiden MBM Sdr. Jufitri Joha berkata, MBM akan terus komited mendokong Kerajaan untuk membangunkan belia dan Negara dan hari ini MBM menyahut cabaran YAB Perdana Menteri dengan melancarkan Program Kemahiran Insaniah (PROKENS) dengan kerjasama KBS dan tajaan HSBC Bank. Sebuah kerjasama pintar NGO-Kerajaan-Korporat. MBM akan terus fokus menjayakan agenda dan program ekonomi belia khusus yang terkait langsung dengan pakej PENJANA, agenda kedaulatan makanan, program literasi kewangan, agenda kesihatan mental, pengukuhan institusi keluarga muda, agenda belia Borneo dan minoriti, program kepimpinan belia, agenda perpaduan Negara, agenda pengantarabangsaan belia dan program profesional muda.