Hartal Doktor Kontrak bukanlah semata mogok biasa. Hartal yang telah terzahir pada tarikh bersejarah 26 Julai 2021 ini adalah sebuah tunjuk rasa aman oleh sekumpulan pengamal perubatan muda yang berhadapan dengan seribu ketidakpastian. Amat jarang dan sukar sebelum ini untuk masyarakat melihat kumpulan profesional ini melakukan hartal mahupun turun ke jalanan melainkan sesuatu mesej yang besar mahu disampaikan kepada pihak pemerintah untuk didengari dan ditangani segera.
Majlis Belia Malaysia (MBM) melihat perkara ini dengan serius memandangkan sebahagian besar doktor kontrak adalah doktor muda yang harus disantuni MBM bahkan MBM telah menggunakan saluran dalaman sebelum ini bagi menyampaikan keluhan doktor kontrak ini langsung kepada pihak atasan sebagaimana juga permasalahan graduan perubatan UIAM untuk penempatan houseman yang berlaku sebelum ini.
Sistem doktor kontrak yang diperkenalkan sejak 2016 ini merupakan sebuah sistem yang rancu, di mana generasi baru pegawai perubatan yang bermula dengan semangat tinggi pasca graduasi, untuk mengabdi pada negara, ditekan dengan sistem yang serba baru tanpa terlihat cahaya di hujung terowong.
Sistem kontrak ini terlihat beberapa kelemahan di mana doktor muda berhadapan dengan kesulitan untuk menyambung pelajaran ke tingkat pakar (pegawai kontrak tidak layak memohon Hadiah Latihan Persekutuan, dan juga tidak boleh menduduki kertas peperiksaan kepakaran dari luar negara)
Bukan sahaja itu, pegawai kontrak juga tidak layak untuk kenaikan tangga gred perjawatan, juga tidak layak memohon pinjaman perumahan. Dan ini hanyalah sebilangan perkara asas yang menjadi keperluan bagi setiap pegawai berkhidmat.
Hartal terpaksa digelar, lantaran ketidakupayaan pihak berwajib untuk memberi sebuah penyelesaian yang mapan dan jelas menyebabkan mereka merasakan masa depan yang tidak menentu.
MBM menyarankan pihak Kerajaan menangani permasalahan pokok ini secara isu demi isu. MBM menggesa Kerajaan untuk memberi ruang seluasnya kepada pegawai perubatan kontrak untuk menyambung pelajaran ke tingkat kepakaran. Mungkin boleh diperkenalkan beberapa jenis biasiswa lain, dengan bantuan swasta semestinya sebagai benefactor, tidak hanya terikat pada Hadiah Latihan Persekutuan sahaja.
Bukalah jalan dan berikan harapan pada mereka untuk mendapat hak dan kelayakan seumpama senior-senior yang telah diserap ke perkhidmatan tetap. MBM amat bimbang jika isu mereka tidak ditangani segera maka mereka tidak dapat benar-benar fokus dan tidak dapat memberikan khidmat terbaik bagi menggalas tugasan berat merawat pesakit Covid-19 dan pesakit-pesakit lain.
Hartal digelar, kerana kurangnya keprihatinan pada nasib dan masa depan mereka sedangkan mereka adalah doktor muda yang menjadi aset terpenting negara. Negara memerlukan mereka.
Usahlah isu ketiadaan bajet senantiasa didendang sebagai alasan klasik sebaliknya berikan penyelesaian yang tuntas dan jelas.
JUFITRI JOHA
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 27 Julai 2021