Menerusi budaya kesukarelawan, para belia dilatih untuk berdikari dalam menguruskan satu-satu aktiviti tanpa bergantung pada mana-mana bantuan luar, selain menampilkan budaya kepimpinan ketika mengurus organisasi.

Bagi mencapai matlamat ‘belia sebagai sukarelawan’ atau ‘sukarelawan itu adalah belia’, penganjuran Hari Belia Negara setiap tahun tepat pada masanya dalam usaha menyemai budaya murni dalam kalangan belia.

Menurut Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Ahmad Saparudin Yusup, Hari Belia Negara pada setiap tahun tidak pernah melupakan untuk meletakkan pengisian kesukarelawan sepanjang berlangsungnya program berkenaan.

Katanya, penubuhan Komuniti Sukarelawan Belia 1Malaysia (MyVoc) yang diterajui oleh warga belia sendiri akan menggerakkan program kesukarelawan di seluruh negara dengan memfokuskan kawasan luar bandar.

“Bersempena Hari Belia 2016, sebanyak 80 kumpulan MyVoc telah memulakan tugas kesukarelawanan sejak 7 Mei lalu. Mereka melakukan pelbagai tugas kemasyarakatan dan kebajikan di luar bandar.

“Mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang akan menggerakkan aktiviti seperti kemahiran pertukangan, pengurusan bencana dan perubatan serta pendidikan.

“Sikap sebegini yang kita mahu terapkan dalam kalangan belia yang sekali gus berupaya memperkukuhkan jati diri mereka,” ujarnya.

Mengulas penganjuran Hari Belia Negara pada tahun ini, Ahmad Saparudin berkata, walaupun disambut secara sederhana di Universiti Putra Malaysia (UPM), ia masih menekankan soal inovasi dan kreatif.

Berbanding penganjuran Hari Belia Negara sebelum ini yang disambut dalam skala besar-besaran, acara itu pada tahun ini masih mengekalkan ciri-ciri seperti kebudayaan, kerohanian dan keusahawanan.

Misalnya, beliau memberitahu, Konvensyen Belia Kebangsaan 2016 akan mengetengahkan pembentang kertas kerja terkemuka dari luar dan dalam negara. Ia diharap dapat memberi input berguna kepada belia khususnya dalam menyentuh soal kreativiti.

“Antara pembentang kertas kerja dalam konvensyen tersebut adalah Presiden Majlis Belia Asia, Hun Many dan Presiden Belia Komanwel, Kishva Ambigapathy serta beberapa lagi individu penting,” katanya.

Selain itu, Ahmad Saparudin menambah, sepanjang Hari Belia Negara 2016 berlangsung, turut diadakan Karnival Warna-Warni Belia dengan menampilkan tujuh acara pentas dan lima aktiviti serta pameran.

Ujarnya, antara aktiviti tersebut adalah festival nasyid, malam belia berselawat, pameran kerjaya dan himpunan belia orang kurang upaya (OKU).

“Semua acara dan aktiviti itu mewakili elemen Hari Belia Negara iaitu inovasi, keusahawanan dan kesukarelawanan,” jelasnya.

Ahmad Saparudin berkata, program kemuncak Hari Belia Negara 2016 adalah pengumuman Anugerah Tokoh Belia dalam Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2016 yang dijangka disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, dijangka lebih 3,000 belia hadir memeriahkan program kemuncak itu disamping mendengar amanat pemimpin negara.

Sementara itu, beliau menjelaskan penganjuran Hari Belia Negara dilihat masih relevan kerana ia merupakan antara satu saluran kerajaan untuk mendekati belia selain menyelami isi hati orang muda di negara ini.

“Malah negara lain memandang tinggi terhadap usaha sebegini dengan mereka turut menganjurkan Hari Belia di negara mereka, contohnya di Kemboja,” katanya. – JUANI