KUALA LUMPUR 27 April – Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima) mencadangkan sistem gred digunakan jika hendak buka kuota kepada pelajar bukan bumiputera sebagai syarat baharu bagi mengikuti program matrikulasi Kementerian Pendidikan.
Presidennya, Syed Osman Mohamed dalam kenyataan kepada Utusan Online memberitahu, pelajar bukan bumiputera harus mencapai keputusan yang cemerlang untuk melayakkan mereka masuk ke program matrikulasi.
“Jika hendak buka kuota 30 peratus bagi pelajar bukan bumiputera, Gepima cadangkan sistem gred diwujudkan sebagai syarat kemasukan.
“Mereka perlu mecapai gred yang tinggi supaya layak memasuki program matrikulasi, namun ini sekadar cadangan dari pihak kami sahaja,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menyambut baik pengumuman Kementerian Pendidikan untuk menambah kuota program matrikulasi kepada 40,000 pelajar.
Malah, Gepima turut bersetuju supaya dasar pengambilan pelajar bagi program berkenaan dikekalkan seperti sedia ada iaiti 90 peratus bagi bumiputera dan 10 peratus bagi bukan bumiputera.
Tambah Syed Osman lagi, beliau juga menyeru supaya kementerian itu tidak meminggirkan pelajar-pelajar India Muslim yang peroleh keputusan cemerlang dalam program itu.
“Mereka pun anak Malaysia dan mempunyai potensi yang tinggi serta berkelayakanan dalam program matrikulasi ini.
“Gepima kagum dengan cadangan kementerian itu kerana mengutamakan golongan B40 dalam penambahan kuota ini supaya anak-anak semua kaum diberi peluang mengikuti program matrikulasi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE
Berita penuh:
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/guna-sistem-gred-jika-buka-kuota-1.890056