KUALA PILAH 26 Jan. – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mengambil inisiatif mewujudkan Skuad Jelajah Motivasi Pendidikan Kepenggunaan 2014 dalam usaha berkongsi ilmu kepenggunaan khususnya kepada pelajar sekolah.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, skuad yang dianggotai oleh 20 penceramah terdiri daripada mahasiswa akan menjelajah ke 100 buah sekolah di seluruh negara mengikut zon untuk memberi penerangan kepada pelajar berkaitan kepenggunaan bermula 17 Februari ini.
”Pelajar sekolah perlu tahu mengenai hak mereka sebagai pengguna. Maka kita ambil tanggungjawab ini untuk membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam usaha memberi penerangan yang tepat kepada mereka.
”Sejak kebelakangan ini, pelajar didedahkan dengan maklumat yang salah dan usaha ini diyakini dapat membantu kumpulan sasar bagi mendapatkan maklumat yang tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran Skuad Jelajah Motivasi Pendidikan Kepenggunaan 2014 peringkat kebangsaan yang disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek di Ladang Alam Warisan, Seri Menanti, dekat sini malam tadi.
Jelasnya, pelajar tingkatan lima merupakan golongan sasaran utama bagi skuad tersebut dalam usaha menyebarkan maklumat yang tepat mengenai hak pengguna.
”GPMS akan mendapatkan maklum balas daripada pelajar sekolah berkenaan program yang dilangsungkan.
”Namun apa yang penting ilmu yang disebarkan kepada pelajar itu dapat disampaikan kepada ibu bapa mereka sekali gus dapat dimanfaatkan oleh masyarakat,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, seramai 100 pemimpin GPMS dari seluruh negara hadir untuk menyertai sesi dialog yang diadakan berkaitan kepenggunaan dan isu belia bersama Hasan yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah.