KUALA LUMPUR 5 Okt – Forum Kepimpinan Wanita Dalam Politik : Memacu Realiti Peningkatan Wanita dalam PRU15 dan Badan Legislatif telah berlangsung dengan jayanya di Royal Lake Club.
Forum rentas parti yang julung kali diadakan ini dianjurkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan Council of Malaysian Women Political Leaders (COMWEL).
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri KPWKM, YB Datuk Seri Rina Harun.
MBM sebagai rakan strategik KPWKM telah diundang ke program ini dalam memberi input dan pandangan.
Exco MBM merangkap Timbalan Pengerusi Biro Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Sdri. Asya Rahman hadir mewakili MBM di samping beberapa pimpinan badan gabungan MBM.
Forum ini merupakan inisiatif paling berjaya dan menepati kehendak semasa dalam menjawab persoalan berkaitan isu hak penglibatan, kepimpinan dan visibiliti wanita selari dengan perolehan skor Malaysia di Indeks Jurang Gender Global 2022.
Antara panelis yang hadir adalah Setiausaha Agung DAP, YB Anthony Loke; Naib Ketua Srikandi BERSATU, YB Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Agung PAS, YB Datuk Takiyuddin Hassan.
Secara kesimpulannya forum ini berjaya dalam matlamatnya mengangkat peranan wanita selain komitmen setiap parti politik dalam memastikan sasaran minima 30% wanita sebagai calon PRU juga penyertaan mereka sebagai pembuat dasar negara.









