PUTRAJAYA 31 Mei 2012 – Bermula tahun depan, Kementerian Belia dan Sukan akan menjenamakan semula karnival Himpunan Jutaan Belia kepada Festival Belia Putrajaya.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, cadangan tersebut telah dibincangkan dan diterima baik Kabinet dalam mesyuarat semalam.
Katanya, ini kerana kerajaan percaya penjenamaan baru itu akan melonjakkan imej himpunan tersebut ke satu tahap yang baru.
“Selepas tiga tahun himpunan ini diadakan di Putrajaya dan berjaya menarik sebegitu ramai belia menyertainya, sudah sampai masanya ia diberikan jenama yang lebih baik.
“Penganjuran di bawah jenama baru ini akan mampu menarik lebih ramai belia dan keluarga turut serta dalam pelbagai acara dan aktiviti yang sesuai untuk semua golongan masyarakat,” katanya di sini hari ini.
Himpunan di Putrajaya anjuran kementerian tersebut telah bermula sejak 2010 dengan mencatatkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung sebelum menarik kehadiran lebih sejuta belia pada tahun lepas.
Bagaimanapun, penganjuran pada tahun ini telah memecahkan rekod terdahulu apabila seramai 2.4 juta belia menghadiri karnival lima hari itu.
Menurut Ahmad Shabery, pihaknya juga akan mengadakan satu bengkel bagi membincangkan pelbagai cadangan dan teguran pelbagai pihak.
Katanya, ia supaya penganjuran akan datang dapat diperbaiki bagi menjadikannya satu acara terbaik untuk belia dan keluarga.
“Kita akan bincangkan dan perbaiki aspek-aspek yang kurang sesuai serta menjadi asas teguran bagi menjadikan festival akan datang sebagai salah satu acara terbaik pernah dianjurkan,” katanya.
“Pada masa sama, saya juga merakamkan ucapan terima kasih atas cadangan dan teguran membina yang telah diberikan oleh pelbagai pihak, kerana dengan teguran dan cadangan inilah menjadikan Himpunan Jutaan Belia 2012 satu kejayaan,” katanya.
Last Updated ( Saturday, 02 June 2012 11:24 )