MAJLIS BELIA MALAYSIA

Festival Belia Putrajaya 2013 kekal momentum tarik golongan muda

PUTRAJAYA 26 Mei 2013 – Hari terakhir Karnival Belia Putrajaya 2013 berjaya mengekalkan momentum yang bermula sejak Khamis lalu dengan pelbagai aktiviti terus mendapat sambutan menggalakkan daripada orang muda.

Karnival hari ini membuka tirai seawal pukul 6 pagi apabila 3,000 peserta Standard Chartered Fun Run mula berkumpul untuk menyertai majlis pelepasan yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Suasana karnival di Putrajaya bertambah hangat menjelang pukul 10 pagi apabila tapak aktiviti dan pameran dari Presint 2 hingga Presint 4 menjadi tumpuan belia yang tidak mahu melepaskan peluang terakhir untuk menyertai karnival itu.

Tidak kurang pengunjung yang mengharapkan durian runtuh melalui potongan harga pelbagai produk termasuk pakaian, tudung, kasut, makanan dan cenderamata yang dijual pada hari terakhir.

Permainan kanak-kanak merupakan antara aktiviti yang mendapat sambutan di mana ibu bapa membawa anak mereka beriadah sempena dengan musim cuti sekolah.

Antara acara yang mencuri tumpuan hari ini ialah majlis kenduri 20 peserta Majlis Ijab Kabul Mega 2013 di perkarangan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Mereka hanya dikenakan caj sebanyak RM5,000 yang merangkumi upacara akad nikah, kad jemputan, barangan cenderamata, majlis makan, upacara potong kek, penginapan dan konvoi menaiki kereta BMW.

Aksi lagak ngeri daripada pertunjukan motor cross turut berjaya menarik perhatian pengunjung di belakang Istana Kehakiman.

Orang muda juga tidak melepaskan peluang untuk melawat tapak pameran badan beruniform bagi mengetahui kerjaya yang ditawarkan oleh Angkatan Tentera Malaysia, Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM)

Karnival Belia Putrajaya berterusan sehingga lewat malam di mana acara utamanya ialah Konsert Rock Lagenda yang diadakan di pentas utama karnival berhampiran dengan Kementerian Belia dan Sukan.

Karnival selama empat hari melabuhkan tirainya pada tengah malam, sekali gus meninggalkan seribu kenangan manis dalam kalangan petugas, sukarelawan dan semua belia yang menyertai program itu.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »