PUTRAJAYA 12 Sept. – Kementerian Belia dan Sukan dijangka memuktamadkan Dasar Belia Malaysia yang kini berada pada peringkat akhir pada awal 2015 selepas menerima hasil maklum balas daripada pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan belia.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya perlukan sedikit masa lagi kerana mahu dasar baharu itu dapat memahami kehendak dan cita rasa belia supaya perubahan yang dicanangkan tidak terpesong atau ‘syok sendiri’.
“Dasar Belia Malaysia ini dirangka mempunyai tiga matlamat iaitu meningkatkan penglibatan belia sebagai warga bertanggungjawab dan menyerlahkan potensi mereka serta menyediakan akses maklumat dan peluang saksama terhadap golongan itu.
“Selain itu, dasar baharu berkenaan akan bersifat lebih meluas termasuk mendekati golongan belia yang tidak menyertai mana-mana pertubuhan belia tetapi mempunyai aktiviti dan minat tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Pentadbiran Separuh Tahun Kedua 2014 dan Intensif Penarafan Lima Bintang kepada pertubuhan-pertubuhan belia, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Antarabangsa dan Pengurusan) kementerian, Datuk Azhar Mohamed Isa dan Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Muammar Ghadafi Jamaludin.
Khairy berkata, Dasar Belia Malaysia dijangka menyentuh mengenai tafsiran usia belia 40 tahun, bagaimanapun perkara itu sedang diteliti daripada pelbagai aspek.
“Negara lain telah mengehadkan tafsiran usia belia kepada 30 tahun selain garis panduan ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah 25 tahun.
“Hanya Malaysia masih mengekalkan 40 tahun dan perkara ini perlu dikaji semula jika negara mahu meremajakan kepimpinan negara,” katanya.
Sementara itu, Khairy menjelaskan bahawa pihaknya akan melantik pakar luar negara untuk melakukan kajian semula terhadap Dasar Pembangunan Atlet yang kini dikatakan mempunyai pelbagai kelemahan.
Katanya, kajian semula terhadap dasar itu akan dibuat selepas selesai Sukan Asia Incheon dan laporan tersebut dijangka siap pada hujung tahun ini.
“Laporan itu kemudian akan dijadikan rujukan sebelum kita menggubal dasar baharu yang dirangka dalam masa empat tahun sekali,” katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd