Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia (MBM) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas YB Mohd Syahbuddin Hashim pernah menjadi pesakit Covid-19 pada awal tahun ini. Turut sama dijangkiti wabak tersebut ialah isteri beliau.
Atas inisiatif dan ingin berkongsi pengalaman, beliau menulis buku ‘Daku YB Covid’ bertujuan memberi iktibar dan kesedaran kepada masyarakat bahawa Covid-19 itu benar.
MBM membawakan sesi webinar KP Talk Show #Cakaplah bersama beliau dan isteri sebagai sokongan dan panduan buat masyarakat di luar yang masih memandang ringan tentang virus berbahaya ini. Sesi ini dihoskan oleh Sdr. Wan Mohd Husni Abdullah, Ketua Penerangan MBM.
Buku setebal 121 muka surat ini diterbitkan JT Books PLT berkonsepkan bacaan santai boleh dibeli menerusi platform e-dagang Shopee.
Hasil jualan buku tersebut akan disumbangkan sepenuhnya bagi membantu rakyat Gua Musang (kawasan beliau DUN Galas) yang terputus bekalan makanan ekoran PKP, asnaf dan lain-lain.
“Saya selitkan bersama gambar-gambar untuk membawa pembaca menyelami perasaan sebagai pesakit Covid. “Juga, menyelami berkenaan penyakit itu dan merasai sendiri detik disahkan sebagai pesakit Covid-19, serta peranan pihak berkuasa,” kata Syahbuddin.
Akhir bicara, beliau dan isteri berpesan agar masyarakat mengambil berat tentang penjagaan SOP dan mengambil vaksin sebagai ikhtiar kepada penyakit ini. Kepada pesakit Covid, beliau mendoakan segera sembuh dan berharap mereka kuat semangat dan yakin akan pulih.