31 Disember 2014 – Pergerakan sukarelawan MBM-KBS di Tanah Merah bermula di rumah Puan Rohani Abu Hassan, Mantan Pengerusi Tetap MBM di Kampung kelewek, Bukit Payung Tanah Merah.
Puan Rohani mencadangkan agar team sukarelawan menumpukan lokasi bantuan di Kampung Sokor yang khabarnya telah terputus hubungan sejak 6 hari lalu. Kami menyediakan sebanyak 146 bungkusan yang mengandungi selimut, lilin, kain batik, kain pelikat, makanan ringan, bahan minuman, air mineral, tikar, susu formula bayi, lampin pakai buang bayi serta dewasa dan biskut kering.
Pada permulaannya konvoi kami memilih laluan Ladang Keriall namun didapati paras air sangat tinggi dan penduduk terpaksa menggunakan bot. Seterusnya kami berpatah balik menggunakan laluan Gual Ipoh. Sepanjang perjalanan terdapat ramai orang menunggu di tepi jalan untuk meminta bantuan. Sewaktu melalui kampung Gobek, konvoi kami diminta berhenti secara kasar oleh seorang lelaki yang mahukan kami menghantar bekalan tersebut kepada mereka. Namun kami teruskan perjalanan ke lokasi yang lebih kritikal. Kira-kira jam 7 malam kami tiba di Ladang Keriall dan mendapati lokasi tersebut juga mengalami bencana banjir yang teruk. Penduduk di situ menyatakan bahawa laluan ke Ladang Sokor tidak boleh dilalui menggunakan jalan biasa kerana paras air masih tinggi.
Setelah cubaan ke Ladang Sokor guna jalan biasa gagal, maka kami putuskan untuk menggunakan laluan hutan setelah ada penduduk yang sanggup membantu merentas laluan dengan trektar. Perjalanan paling berbahaya ini bermula jam 7.30 malam dan tiba di kampung Ladang Sokor pada jam 12.15 tengahmalam.
Terdapat lebih 100 rumah di Ladang tersebut dan hanya 9 rumah yang tidak dimasuki air. Selainnya rosak teruk kerana air setinggi lebih 10 meter. Bantuan kami adalah yang pertama menggunakan jalan darat. Sebelum itu ada helikopter menghantar bantuan yang terpaksa mendarat di atas tapak perkuburan Islam.
Berlaku beberapa insiden kenderaan 4×4 konvoi kami hampir tergelincir di tebing gaung yg sangat curam.Gambar dan video masih belum saya dapat hantar kerana talian yang masih lemah. Mujurlah dalam kumpulan kami terdapat anggota team 4X4 yang sangat terlatih dan profesional dalam aktiviti ekstrem di laluan sebegini.
Sewaktu kami tiba di kampung Ladang Sokor, suasana amat sunyi dan gelap. Melalui suluhan lampu kenderaan kami lihat dengan jelas kesan air banjir yang mencecah pucuk dahan pokok getah. Beberapa ketika barulah ada penduduk yang turun dari khemah di atas bukit untuk di tanya khabar. Pak Su iaitu wakil Kampung Tegewang mengakui kamilah kumpulan petugas pertama yang datang untuk membantu. Tempoh 6 hari sememangnya mereka telah kehabisan bekalan makanan. Menurut beliau ada helikopter menjatuhkan bantuan namun ia tidak dapt dicapai kerana kawasan kampung itu terputus oleh arus deras
Di suatu lokasi laluan curam yang berselut, trektar terpaksa menarik kenderaan 4×4 satu-persatu yang mengambil masa 20 minit untuk satu kenderaan. Sewaktu sukarelawan lelaki bertungkus lumus menolak kenderaan dan membantu jurumudi mengenal arah laluan yang betul, sukarelawan wanita yang diketuai oleh Puan Wan Salwati Hj Abdullah, Naib Presiden MBM dan Puan Rohani Abu Hassan, Mantan Pengerusi Tetap MBM terus memberi sokongan dan mengalunkan zikir secara berterusan kerana kami menyedari misi ini amat berbahaya dan tidak ada dalam perancangan asal. Namun kesedaran dan ingatan terhadap beratus-ratus penduduk yang terperangkap di Ladang Sokor sejak 6 hari lalu menyebabkan kami memberanikan diri meredah laluan bahaya tersebut.
Kami meneruskan tugas mengagihkan bahan bantuan kepada wakil-wakil penduduk kampung dengan bantuan Sdra Amin, Pengerusi Gerakan Belia 4B Kampung Sokor Baru. Seterusnya kami membuat keputusan untuk bermalam di Kampung Sokor kerana semua sukarelawan amat keletihan, kelaparan dan mengantuk. Tambahan pula terdapat 2 kenderaan 4X4 yang mengalami kerosakan gear dan klac. Sdra Tuah yang bertindak selaku Ketua Jurumudi mencadangkan agar kami menunggu waktu siang untuk meneruskan perjalanan melalui laluan yang berbahaya tadi. Ia adalah demi keselamatan semua petugas.
Sukarelawan bermalam di dalam kenderaan di kawasan lapang dan terdapat juga yang menumpang tidur di ruang rumah yang telah dinaiki air sebelum ini. Pada awal pagi, sdra Amin menyampaikan berita yang menggembirakan kerana beliau jangkakan laluan yang sebelum ini terputus mungkin boleh dilalui kerana kelihatan air semakin surut. Maka kami meneruskan perjalanan pulang dengan laluan ke Ladang Kerilla. Didapati jalan-jalan masih berselut tebal dan basah. Kami juga terpaksa mengalihkan tiang elektrik yang tumbang merentas laluan utama Kampung Sokor ke Ladang Kerilla.
Akhirnya kami berjaya keluar ke kawasan selamat. Sewaktu tiba di Kampung Gobek untuk mengedarkan baki air mineral kepada mangsa banjir, kami dimaklumkan bahawa lokasi helikopter PDRM yang terhempas kelmarin berada tidak jauh dari lokasi kami berhenti. Maka kami terus ke lokasi tersebut kerana wartawan RTM yang bersama-sama kami ingin membuat liputan.
Sumber: Presiden MBM
Livefeed Part 1
Livefeed Part 2