MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bina benteng pemecah ombak

semai_bakti_kemaman

KEMAMAN 13 Jan. – Kerajaan Pusat akan berusaha menyelamatkan Kampung Kuala Kemaman yang kini semakin teruk dilanda hakisan dan ancaman ombak besar dengan menyediakan peruntukan untuk membina benteng pemecah ombak.

Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerajaan juga akan membantu membina semula atau memperbaiki sekurang-kurangnya 41 rumah penduduk kampung yang rosak dipukul ombak besar dalam kejadian akhir tahun lalu.

Katanya, pihaknya telah memutuskan untuk membaiki rumah penduduk yang kebanyakannya nelayan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Program membaiki rumah penduduk merupakan kerjasama antara persatuan nelayan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Majlis Pembangunan Pertanian Daerah Kemaman,” katanya pada Majlis Semai Bakti Parlimen Kemaman yang diadakan di Kampung Kuala Kemaman di sini semalam.

Dalam kejadian Disember tahun lalu, hampir kebanyakan rumah penduduk di kawasan tersebut ranap dipukul ombak ketika fenomena air pasang besar melanda pesisir Pantai Timur.

Tambah Ahmad Shabery yang juga Menteri Belia dan Sukan, kerajaan akan memberi bantuan lain seperti enjin bot, peralatan menangkap ikan dan beberapa keperluan lain bagi membantu para nelayan mempertingkatkan hasil tangkapan mereka.

“Kita juga akan membina semula dan menaik taraf lebih 10 jeti pendaratan ikan yang musnah ketika kejadian ombak besar dengan sebahagiannya dibina secara gotong-royong oleh para nelayan,” katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Shabery turut menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia kepada 41 penerima pertama di daerah itu.

Seramai 500 belia termasuk penuntut kolej dan institusi belia dari seluruh negeri turut bersama penduduk kampung menyertai gotong-royong membersihkan kawasan kampung serta membaiki beberapa jeti pendaratan ikan yang rosak walaupun dalam cuaca hujan lebat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Kemaman, Wan Ali Wan Embong terharu dengan keprihatinan kerajaan membantu penduduk kampung terbabit.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang memberi bantuan dan membina rumah penduduk serta jeti pendaratan ikan yang musnah dan rosak dipukul ombak besar,” jelasnya.

Bagi nelayan, Khalid Jusoh, 54, pendapatannya sememangnya tidak mencukupi untuk menyara keluarga dan dengan keprihatinan kerajaan yang memberi pelbagai subsidi seperti peralatan menangkap ikan itu dapat menambah hasil tangkapan di laut.

“Kami amat gembira dengan bantuan ini dan berterima kasih kepada kerajaan Pusat dan negeri yang sentiasa berusaha membela nasib kami para nelayan yang hidup dalam kesusahan,” jelasnya.

Yahya Salleh, 50, turut berterima kasih kepada kerajaan yang sudi menghulurkan pelbagai bantuan yang dapat meringankan beban keluarganya terutama ketika musim tengkujuh ini.

“Pendapatan saya sebagai nelayan hanya sekitar RM500 sebulan tidak cukup untuk menyara keluarga. Dengan adanya subsidi nelayan sebanyak RM200 daripada kerajaan Pusat ini dapat meringankan beban yang ditanggung,” katanya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »