Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua’amar Ghadafi Ja­mal Jamaluddin berkata, polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu bekerjasama dalam mengekang kegiatan tidak sihat itu.

Katanya, ketegasan itu bagi memastikan anugerah yang sah daripada raja-raja Melayu sahaja digunakan oleh penerima berdasarkan hak prerogatif institusi raja terhadap jasa individu kepada negara.

“JPJ misalnya, harus menyiasat pemilik kenderaan yang menggunakan logo meragukan pada plat kenderaan mewah. Begitu juga dengan JPN yang perlu menyiasat pengguna sesuatu gelaran yang dipohon pada MyKad.

“Akta yang berkaitan perlu digunakan terhadap mereka yang terlibat seperti subseksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan Seksyen 425 Kanun Keseksaan (Akta 547) kerana menghina pemimpin,” katanya yang dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan eksklusif Mingguan Malaysia hari ini yang mendedahkan kewujudan gelaran, darjah dan pingat palsu yang dianugerahkan oleh pihak atau individu tidak diiktiraf kerajaan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Abdul Latif Abu Bakar berkata, pihak berkuasa harus tegas membendung gejala itu agar bilangan penerima gelaran palsu tidak bertambah.

Katanya, Majlis Raja-raja juga harus mengeluarkan senarai penerima semua darjah dan pingat di setiap negeri bagi dimuatkan dalam satu direktori sebagai panduan kepada semua pihak untuk mengenal pasti penerima pingat yang sah.

“Penerangan harus diberi tentang perbezaan pingat kebesaran rasmi daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang Dipertua Negeri dengan yang tidak rasmi seperti institusi adat atau keturunan supaya masyarakat tidak keliru,” ujarnya.

Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay pula berkata, tanpa tindakan tegas akan timbul kekhuatiran dalam masyarakat termasuk berlakunya kes-kes penipuan oleh pihak terbabit.

Menurutnya, lambakan gelaran, darjah dan pingat palsu itu juga akan menyebabkan prestijnya dalam kalangan penerima yang benar-benar berkelayakan akan jatuh dan tidak dihormati di mata masyarakat.