SEREMBAN 16 Okt. – Calon-calon Ahli Parilmen Belia Malaysia yang akan terpilih kelak tidak harus menjadikan platform yang ada untuk menghentam mahupun memburukkan pihak tertentu secara semberono.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zaifulbahri Idris berkata, ruang yang diberikan itu seharusnya digunakan bagi memberikan pandangan serta kritikan membina dalam memantapkan agenda pemerkasaan belia di negara ini.
Pada masa sama beliau turut mengkritik sesetengah pihak yang menggunakan belia untuk tujuan politik dangkal dengan mengajak mereka menyertai demnostrasi haram sekali gus meracuni pemikiran golongan itu.
“Mengapa harus ada lagi pasukan yang memakai baju berwarna kuning bertulisan berkumpul beramai-ramai di Dataran Merdeka kerana hendak menyuarakan pendapat mereka.
“Gunakan peluang sebaiknya untuk saudara-saudari meluahkan perasaan dan rintihan serta idea golongan belia akar umbi. Kita mengakui memerlukan pandangan dan idea daripada golongan belia tetapi haruslah menggunakan pendekatan yang betul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Suai Kenal Calon Ahli Parlimen Belia Malaysia negeri di Dewan Kompleks Belia dan Sukan Paroi, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Azura Sarbin dan Presiden Majlis Belia negeri (MBNS), Wan Salwati Abdullah.
Seramai 37 calon bertanding sebagai Ahli Parlimen Belia Malaysia dan hanya empat orang akan dipilih mewakili negeri ini bagi bersidang di Dewan Rakyat yang dijangka berlangsung selama dua hari pada 10 dan 11 Januari 2015.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Azura Sarbin berkata, platform yang diberikan kerajaan kepada belia perlu digunakan sebaiknya dan bukan untuk mencari populariti semata-mata.
“Mereka jangan sekadar melihat masalah di bandar tapi lihat masalah yang sering berlaku di kawasan pedalaman seperti kampung dan tanah rancangan Felda.
“Gunakan platform parlimen sebagai batu loncatan untuk menambah pengetahuan dan kemahiran,” ujarnya.
© Utusan Melayu (M) Bhd