Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, kerjasama itu boleh dijadikan sebagai satu platform kepada kumpulan etnik tersebut dalam mencari jalan penyelesaian kepada masalah penindasan yang berlaku terhadap mereka.

“Sekurang-kurangnya de­ngan kerjasama ini belia Rohingya mempunyai platform untuk bersuara bagi mencari keamanan untuk etnik mereka.

“Kami akan membantu anda untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi di negara tersebut,” katanya ketika sesi soal jawab Wacana Belia Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIYD) 2016 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan yang dilontarkan oleh salah seorang peserta Rohingya yang menyer­tai wacana tersebut tentang ba­gai­mana Malaysia boleh mem­ban­tu etnik itu yang sedang di­tindas di Myanmar.

Menurut Khairy, Malaysia juga membuat satu pendirian yang tegas berhubung isu Ro­hingya dengan menyeru kerajaan Myanmar supaya me­ngambil tindakan perlu bagi menangani penghapusan etnik yang didakwa berlaku di Ra­khine itu.

“Jika kamu tahu mengenai diplomasi pendekatan yang diambil Malaysia adalah tegas dan bukan hanya sekadar sebuah kenyataan biasa.

“Pendekatan yang kita ambil ini hampir melampaui sema­ngat ASEAN tetapi kita memilih untuk melakukannya kerana prihatin dengan nasib etnik Rohingya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Khairy ber­kata, golongan muda perlu men­jadi contoh yang menggam­barkan keperibadian agama Islam yang unggul.

Katanya, pada masa ini Muslim sering disalah anggap oleh penganut agama lain kerana tidak mendapat gambaran yang sebenar mengenai agama Islam.

“Tidak cukup sekadar beritahu Islam adalah agama yang indah, golongan muda perlu mengambil langkah membina identiti Muslim yang selaras dengan ajaran Islam yang sebenar,” katanya.