KUALA LUMPUR 26 Nov. – Golongan belia perlu membantu kerajaan dalam menyebarkan mesej mengenai agama Islam yang sebenar bagi mengelakkan sebarang kekeliruan timbul sehingga menyebabkan umat Islam terpesong ke arah keganasan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mereka yang terpengaruh dengan kumpulan militan Daesh terdiri daripada golongan yang kurang mendapat perhatian dan kasih sayang lalu kekecewaan itu disalurkan ke arah keganasan akibat salah faham terhadap Islam.
Selain itu kata beliau, mereka terlibat dengan agenda kumpulan militan Daesh di Syria didapati membawa salinan buku Islam for Dummies yang tidak mewakili ajaran Islam sebenar sehingga menyebabkan ratusan nyawa terkorban.
“Agama Islam yang sebenar dan tulen telah membina peradaban-peradaban gemilang di dunia dan hanya ajaran Islam yang tulen dapat membetulkan salam faham ini.
“Jadi sebagai golongan muda anda perlu menyebarkan mesej ini kepada sahabat-sahabat kita supaya mereka tidak terpesong ke arah kegelapan dan keganasan yang jauh meninggalkan kasih sayang dan harmoni,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Wacana Belia Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIYD) 2016 di sini, hari ini.
Yang turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Pengerusi KLIYD, Khairul Azwan Harun dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Muammar Ghadafi Jamal Jamaluddin.
Menurut Najib, selain daripada salah tafsir mengenai ajaran Islam yang sebenar, isu-isu lain antaranya kemiskinan, pengangguran dan peminggiran dalam kalangan generasi muda juga boleh menyebabkan golongan itu beralih kepada fahaman radikal.
Oleh sebab itu katanya, kerajaan sentiasa mengambil berat dan mendengar aspirasi serta suara golongan muda kerana yakin mereka merupakan aset kepada masa depan negara.
“Dengan populasi belia dunia berusia antara 15 dan 24 tahun setakat tahun 2015 berada pada kadar 1.2 bilion, ia indikator jelas belia mahu pembangunan berteraskan teknologi dan gaya hidup moden.
“Kerajaan tahu golongan muda memerlukan saluran dan peluang untuk menambah baik diri mereka serta memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan termasuk oleh kuasa globalisasi.
“Isu-isu ini turut ditangani menerusi perancangan yang telah digariskan dan laksanakan selepas saya mengambil alih jawatan Perdana Menteri untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020,” jelasnya.
Tambah beliau, negara kini berada pada landasan yang tepat untuk menarik pelaburan yang diperlukan bagi memastikan ekonomi terus mencatat pertumbuhan pesat dan menyediakan kerja baharu serta latihan kemahiran tinggi yang perlu untuk generasi muda.
– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/belia-perlu-bantu-8211-pm-1.412765#sthash.bCZLWRT0.dpuf