MAJLIS BELIA MALAYSIA

Belia Mahu Peranan Dalam Masyarakat Diiktiraf

Kedah, 10 Okt 2012 (Bernama) — Isu pengiktirafan peranan golongan belia dalam masyarakat menjadi topik perbincangan popular semasa sesi dialog Menjulang Erti Kesukarelaan pada 6 Oktober lepas di Sik, Kedah.

Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam kenyataannya berkata, isu tersebut diutarakan oleh majoriti peserta yang menghadiri kursus Transformasi Sukarelawan: Sahabat Majlis Belia Malaysia.

“Golongan belia di negara ini menyeru kepada semua pihak agar memberi pengiktirafan sewajarnya kepada mereka yang melibatkan diri dalam kegiatan kesukarelaan selari dengan kehendak belia masakini, iaitu selain dari suara mereka didengari dan masalah mereka diselesaikan dengan berorientasikan mereka, golongan ini juga mahukan peranan mereka dalam masyarakat diiktiraf,” katanya.

Stigma pemikiran masyarakat yang sering mengaitkan tenaga belia hanya untuk kerja-kerja gotong-royong harus dikikis sebaliknya memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk melibatkan diri dalam kegiatan kesukarelaan yang lebih besar dan mencabar.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia merangkap Presiden Majlis Belia Negeri Pulau Pinang Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata golongan belia perlu melengkapkan diri sepenuhnya dengan ilmu kesukarelaan dan memiliki sekurang-kurangnya satu kemahiran tertentu supaya bantuan yang ingin di salurkan itu mencapai objektifnya.

Menurut Presiden Majlis Belia Negeri Kedah Ku Iskandar Ku Saad antara cabaran dalaman yang utama dalam pertubuhan belia ialah melatih anggota sukarelawan baru dan di samping itu cuba mengekalkan ahli-ahli anggota yang lain.

“Kedua-dua tugas ini adalah sama beratnya. Dengan mengambil ahli-ahli baru, melatih dengan kemahiran yang sesuai, memperkukuh kedudukan dengan memberi peranan kepada mereka dan mengekalkan penglibatan mereka dalam program-program yang dijalankan dapat membentuk semangat kesetiaan dan ini dapat menghalang mereka keluar dari pertubuhan belia itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, penghayatan terhadap kehidupan moden telah mengurangkan semangat kesukarelaan, kata Presiden Majlis Belia Negeri Perlis Saiful Munir Bidin.

“Tidak ramai ahli masyarakat yang menggunakan usaha sendiri untuk membantu masyarakat tanpa bantuan kewangan. Khidmat dan bantuan pada hakikatnya bukanlah sekadar wang ringgit malah tenaga, masa, buah fikiran ataupun usaha fizikal,” katanya.

Seramai 80 orang belia dari tiga buah negeri di utara tanahair iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang menyertai kursus tersebut.

— BERNAMA

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »