Namun begitu, masih ada dalam kalangan mereka yang berjaya mengurus perubahan ini dengan baik. Kejayaan mereka ini wajar dikongsi. Supaya setiap lapisan masyarakat benar-benar faham bahawa belia bukan liabiliti, sebaliknya aset yang bernilai buat negara.

Kerangka kerja pembangunan belia negara perlu memberi tumpuan kepada aspek menyerlahkan potensi belia. Kajian menunjukkan penyerlahan potensi belia merupakan kerangka kerja pembangunan belia yang berkesan melalui pendekatan pembangunan aset belia.

Dalam dunia akademik, kerangka kerja ini disebut Positive Youth Development (PYD). Terma dan kerangka kerja ini digunakan secara meluas di seluruh dunia. PYD adalah pendekatan yang mengiktiraf potensi belia, dibangunkan melalui cara yang positif serta ber­sesuaian dengan potensi di mana belia ­berada. PYD mengubah pendekatan defisit sebagai cara kerja pembangunan belia lapuk di mana tumpuan kepada menangani permasalahan sosial belia semata-mata.

Terdapat pepatah dalam PYD “Orang muda tidak membesar dalam program, mereka membesar di dalam masyarakat”. PYD dibina dalam ruang lingkup institusi sosial yang merangsang, bersifat interaktif di mana setiap pihak berhubung secara positif. Hubungan yang wujud juga merentas kumpulan umur dan latar belakang. Suasana ini membentuk ilmu dan kemahiran hidup belia yang disampaikan secara terus dalam masyarakat, di mana program belia tidak dilihat sebagai struktur terpencil bahkan menggabungkan belia dan masyarakat melalui kerjasama belia-dewasa. Sememangnya diakui jenis-jenis hubungan yang terdapat dalam masyarakat banyak membantu belia belajar serta menguasai kecekapan interpersonal, menjiwai nilai yang ada dan secara tidak langsung meningkatkan semangat mereka untuk menyumbang sesuatu yang lebih bermakna kepada masyarakat dan negara.

Apa yang membimbangkan, kajian menunjukkan sebahagian besar belia di Malaysia tidak melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat, di mana mereka mengakui tidak diberi peranan yang bermakna dalam masyarakat dari segi ruang dan peluang untuk melibatkan diri. Ini juga bermakna peluang penyertaan mereka begitu terhad dalam institusi sosial seperti organisasi masyarakat, persatuan penduduk, rumah ibadat dan lain-lain.

Oleh itu, usaha yang lebih baik perlu dilakukan agar peluang yang lebih bermakna dapat diberikan kepada belia untuk menggunakan sepenuhnya kekuatan mereka secara dalaman, sekali gus menyumbang secara positif terhadap kawasan kejiranan, masyarakat dan negara. Apa yang sering berlaku ialah perbincangan mengenai isu-isu belia di Malaysia cenderung untuk memberi tumpuan kepada masalah dalaman yang dihadapi belia. ­Sangat jarang untuk dilihat perbincangan yang menyentuh kelemahan sistem sokongan kepada generasi belia di luar sekolah dan keluarga ke arah usaha penambahbaikan.

Dalam pada itu, sistem kokurikulum di sekolah perlu diperluaskan dengan cara memanfaatkan masyarakat sivil melalui penglibatan mereka dalam program kokurikulum. Usaha ini berpotensi untuk menghasilkan dua impak selari iaitu ke arah menyediakan belia dengan pengalaman kokurikulum yang diperlukan, selain membantu mereka menjadi lebih berfikiran sivik melalui penglibatan isu-isu sebenar masyarakat.

Selain itu, semua persatuan belia di Malaysia perlu diperkukuhkan supaya matlamat berorientasikan belia menjadi lebih mudah untuk dicapai. Ahli-ahli yang lebih muda wajar diberi suara yang lebih besar di dalam membuat keputusan. Perkara ini penting bagi membentuk pengalaman kepimpinan yang lebih bermakna. Pengurusan pertubuhan belia perlu memikirkan budaya kerja yang lebih telus dan profesional. Ini termasuk memiliki sekretariat program yang terlatih dan sepenuh masa bagi memastikan program berjalan secara ­terancang.

Keperluan untuk menjadikan pekerja belia sebagai satu profesion perlu difikirkan di masa akan datang. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selaku pembuat dasar utama telah memulakan langkah ini secara prinsipnya dengan bersetuju menjadikan Profesionalisme Kerja Belia sebagai antara sembilan bidang keutamaan belia yang perlu diberikan tumpuan dalam Dasar Belia Malaysia 2015 – 2035. Walaupun perjalanan untuk mewujudkan pekerja belia yang profesional dilihat masih berliku, namun kita harus memulakannya.

Kita perlu menerima hakikat pembangunan belia positif tidak berhajat kepada kuasa monopoli. Semua pihak mempunyai peranannya tersendiri. Di pihak Universiti Putra Malaysia (UPM)kerjasama dengan KBS selaku pembuat dasar terjalin sejak 1970-an lagi. Dasar Belia Malaysia 2015 – 2035 yang dilancarkan pada Hari Belia Negara 2015 turut melibatkan beberapa pakar dari Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS),UPM.

Justeru, buat julung-julung kalinya pemilihan UPM sebagai lokasi penganjuran Hari Belia Negara 2016 esok dilihat begitu bermakna bagi seluruh warga universiti. Dalam konteks membangunkan generasi pewaris, sedikit usaha yang kita sumbangkan adalah besar dan sungguh bermakna. Sebaliknya, walaupun telah banyak kita sumbangkan, hakikatnya masih banyak yang perlu kita lakukan.

PENULIS ialah Penyelidik Sosial, Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM)