MAJLIS BELIA MALAYSIA

Banjir dan Pendidikan Masyarakat

29 Dis 2014 – MBM yang diwakili oleh Saudara Ahmad Saparuddin Yusup , Penolong Setiausaha Agung hadir dalam slot di RTM 1 ‘LANDSKAP : ISU BANJIR’  yang membicarakan pengalaman beliau meninjau suasana di lapangan khususnya Terengganu. Turut serta dalam slot tersebut adalah Saudara Shuib dari Rakan Kembara Malaysia yang turut bersama MBM untuk misi di Kelantan. Mereka berdua merupakan kumpulan pertama yang dihantar oleh MBM meninjau keadaan di Kelantan dan sebuah pasukan lagi ke Terengganu pada 23-25 Disember 2014 dalam MISI BELIA PRIHATIN MBM KBS.

Beliau mengucapkan terima kasih atas kesempatan yang diberikan kepada MBM memperkatakan  salah satu musibah terbesar terhadap rakyat Malaysia khususnya di pantai timur Semenanjung Malaysia. Dalam nada berseloroh beliau mengatakan “sesi ini sebenarnya untuk penonton yang tidak terlibat dalam musibah ini dan bukannya mereka di pusat pemindahan”

Perkara yang ditekankan dalam perbincangan ini adalah pendidikan dan kesedaran dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir. Dapat dilihat rakyat Malaysia memberi respon yang aktif dan positif dalam menyalurkan bantuan. Saudara Ahmad Saparudin menyatakan terdapat beberapa bentuk sumbangan yang dapat disalurkan oleh masyarakat umum. Kategori pertama adalah sumbangan bukan barangan, yang berbentuk tenaga sukarela melalui NGO dan badan korporat.

Keperluan sumbangan tenaga seperti ini sememangnya amat diperlukan di pusat-pusat pemindahan dan kawasan yang dilanda bencana alam ini terutamanya apabila mangsa berada dalam keadaan yang tidak bermaya, dan kurang rehat akibat kerisauan dan tekanan piskologi. Justeru, struktur sukarelawan yang tersusun dan mempunyai kemahiran adalah amat penting bagi memastikan kelancaran perjalanan aktiviti harian di pusat pemindahan dan kawasan berkaitan.

Beliau juga mengajak masyarakat memberikan penghargaan kepada pasukan bantuan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kesihatan dan sebagainya. “Sudah pasti, pasukan bantuan ini bekerja ibarat ‘on call non stop’ sepanjang musibah banjir ini” berdasarkan pengalaman di lapangan.

Dalam memperkatakan tindakan sesetengah pihak memperlekeh kemampuan dan bantuan agensi penyelamat beliau dengan tegas menjawab “Mereka adalah pasukan profesional dan perlu mengikut piawaian kerja yang ditetapkan semasa banjir. Penggunaan helikopter misalnya untuk menghantar bantuan memerlukan piawaian keselamatan, keizinan penerbangan dan faktor cuaca yang tak menentu. Maka, penghargaan dari sudut moral juga perlu bagi memastikan usaha berterusan mereka diiktiraf dari perspektif awam”. Ujar Saudara Ahmad Saparudin lagi.

Bila diajukan isu pemberi sumbangan memberikan baju dan pakaian terpakai yang tidak sempurna, beliau mengajukan bahawa masyarakat Malaysia perlu dididik etika, adab dan cara memberikan sumbangan. Pastinya sumbangan yang terbaik adalah yang apabila Pengungsi (orang yang dipindahkan ke pusat pemindahan) menerimanya dan merasakan dilayani selayaknya sebagai insan sehingga terlafaz perasaan syukur di hati mereka.

Beliau menyokong penuh kempen yang dilancarkan oleh sukarelawan ABIM (badan gabungan MBM) agar orang ramai yang perlu mengikut tatacara 4 langkah asas berikut :

1. Cuci dan lipat

2. Bungkus

3. Tanda/tag,

4. Hantar.

Perkara ini perlu bagi memastikan sumbangan kita sampai kepada mangsa dalam keadaan yang baik dan memperlihatkan keikhlasan bantuan yang diberikan dan tidak dijadikan pesta ‘spring cleaning’ . Ia juga penting agar harapan dan niat membantu mangsa dapat diterjemah sebaiknya di samping mengelakkan bantuan menjadi longgogkan dan timbunan baru (dumping ground) di pusat pemindahan.

Keperluan di lapangan berbeza mengikut keadaaan, tahap kesukaran dan bencana serta situasi. . Misalnya dalam memberikan bantuan bersifat pakaian sedangkan pusat pemindahan tersebut tidak dapat diakses melalui jalan utama. Pada peringkat pertama bekalan makanan ringkas dan mudah hadam serta kit kebersihan diri sangat diperlukan. Barang bantuan juga perlu diberi mengikut koordinasi bagi mengelakkan pembaziran dan pertindihan bahan kepada pusat pemindahan. Justeru, MBM yang mempunyai rangkaian di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan dapat dikoordinasikan bagi memastikan sumbangan dan bahan keperluan sampai kepada mangsa.

Dalam koordinasi ini ujarnya MBM sempat memberikan keperluan katil lipat kepada pengungsi yang terdiri daripada pesakit kronik, OKU dan orang tua kerana itu adalah keperluan di pusat pemindahan tersebut. Pengalaman turun ke lapangan juga membuatkan sukarelawan MBM mampu membuahkan idea melaksanakan projek Tirai Pembahagi antara Keluarga sebagai alternatif mudah, murah dan ringkas. Program pendidikan kanak-kanak dan pengisian masa lapang juga sesuatu program yang dilaksanakan di pusat pemindahan.

Dibangkitkan juga amalan ‘copy and paste’ dan  maklumat palsu yang mudah disebar dan viral di media sosial. Dalam kecanggihan teknologi, setiap individu perlu memeriksa dan memastikan kesahihan berita dan maklumat tersebut adalah benar dan sumbernya perlu dipastikan benar dan punya info seperti masa dan sumber asal berita itu. Ujar Saudara Ahmad Saparudin lagi, Islam menganjurkan agar kita ‘fatabayyanu’ (menyelidiki) sesuatu berita sebagaimana konteksnya sistem perawi dan sanad dalam ilmu hadis yang sangat dititikberatkan..

Perbincangan seterusnya beralih kepada harapan MBM dalam mengendali isu bencana ini. Beliau mengharapkan pengurusan bencana akan lebih efisyen dan tersusun dengan proses inovasi dan ‘improvisation’. Ia mencakupi dua pihak sama ada pasukan pengurus bencana atau NGO-NGO mengikut keperluan dan tahap kemahiran organisasi tersebut.

Kedua, Memahami Keutamaan agar setiap tindakan dan bantuan kena pada tempatnya. kepada mangsa banjir adalah kelangsungan hidup dan survival seperti kit kebersihan diri atau hygiene kit. Seperti yang ditekankan, keperluan berbeza mengikut masa dan tahap bencana.

Ketiga adalah Koordinasi seperti di peringkat pusat-negeri dan daerah juga perlu ada ‘synchorization’. Oleh itu, NGO yang berstuktur seperti MBM adalah sebagai salah satu contoh terbaik dalam hal menangani bencana ini.

Sumber: Temubual bersama RTM 1 di Slot Landskap, bersiaran jam 9-11 malam.

 

IMG-20150101-WA0075

 

IMG-20150101-WA0071

IMG-20150101-WA0074

slot landskap RTM 1

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »