MAJLIS BELIA MALAYSIA

ASEAN, China disaran tingkatkan interaksi belia

CHENGDU, China 20 Sept. – Negara-negara ASEAN dan China disaran meningkatkan program-program interaksi sesama belia setiap negara menerusi aktiviti sukan, pelancongan, media dan kebudayaan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menggesa agar program-program pertukaran menerusi kunjungan dan interaksi ‘antara rakyat dengan rakyat’ khususnya belia dipertingkatkan dalam bidang-bidang tersebut.

“Mereka merupakan ‘kuasa kecil’ yang boleh mendekatkan lagi negara-negara ASEAN dan China serta mewujudkan persefahaman yang lebih baik di antara satu sama lain,” katanya sewaktu menyampaikan ucaptama Forum Kemuncak Persidangan Persahabatan Antara Rakyat ASEAN-China di sini, semalam.

Menurut Abdullah, program itu adalah kesinambungan kepada pengukuhan hubungan yang sedia ada menerusi semangat persefahaman, kejiranan dan saling mempercayai yang terbukti positif dan menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau.

Di samping itu, jalinan ekonomi juga harus diperdalam dan diperluaskan lagi dengan meningkatkan kerjasama sedia ada dan melalui bidang-bidang baharu yang perlu dikenal pasti.

“China boleh memainkan lebih peranan dalam bentuk pelaburan, pembinaan infrastruktur, kerjasama kewangan serta menaik taraf perjanjian perdagangan bebas ASEAN-China,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama rapat yang sekian lama terjalin di antara ASEAN dan China patut dijadikan peluang untuk memupuk ikatan yang lebih kuat demi kepentingan sesama rakyat dan juga rantau ini.

“Kedua-dua ASEAN dan China boleh menggunakan kekuatan masing masing serta saling melengkapi untuk sama-sama berkongsi tanggungjawab menjadikan rantau kita sebagai tempat yang lebih baik, makmur dan indah,” katanya.

Persidangan Persahabatan Antara Rakyat ASEAN-China merupakan acara tahunan untuk meningkatkan kerjasama antara negara-negara peserta dengan mewujudkan platform komunikasi sesama rakyat.

Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia China, Datuk Abdul Majid Ahmad Khan memberitahu, persidangan itu dan persatuan-persatuan persahabatan negara terbabit adalah inisiatif bukan kerajaan untuk memantapkan hubungan antara rakyat tanpa mengira kaum. – MINGGUAN

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »