KUALA LUMPUR 7 Ogos 2012 – Kerajaan dan pihak berkuasa agama diminta untuk mengambil tindakan tegas terhadap paderi gay, Ngeo Boon Lin yang dilaporkan mengadakan majlis resepsi perkahwinan sejenisnya di negara ini.
Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kasim berkata, tindakan Boon Lin itu dilihat sengaja mahu mencabar kesucian agama Islam dan melanggar norma kehidupan rakyat negara ini.
Katanya, Boon Lin harus menghormati Islam yang diangkat sebagai agama Persekutuan dan sedar hubungan sesama jenis amat bertentangan dengan norma, budaya dan tamadun masyarakat Malaysia terutama umat Islam.
“Kalau perlu gugurkan sahaja taraf kerakyatan dia dan pihak berkuasa agama harus mengambil tindakan tegas supaya boleh dijadikan pengajaran kepada orang lain untuk lebih menghormati umat dan agama Islam di negara ini.
“Apa yang dilakukan itu seolah-olah cuba mencabar kesucian Islam di Malaysia. Sudahlah mengamalkan gaya hidup bertentangan dengan norma manusia, buat pula majlis pada bulan Ramadan mulia ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan Boon Lin yang ‘berkahwin’ dengan teman lelakinya, Phineas Newborn III di New York tahun lalu telah mengadakan majlis resepsi perkahwinan mereka di sini Sabtu lalu.
Ruslan berkata, tindakan Boon Lin itu disifatkan sebagai strategi musuh Islam yang berniat mahu menghancurkan bangsa dan tamadun Islam di negara ini.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, kerajaan harus mengambil perhatian yang serius berhubung perkara ini.
Ini kerana, katanya, individu yang terlibat secara terang-terangan cuba untuk mencabar kewibawaan undang-undang dan tatasusila masyarakat di negara ini.
“Kerajaan perlu melihat kepada semua peruntukan dari sudut perundangan yang ada bagi memastikan individu berkenaan dikenakan tindakan sewajarnya.
“Perkara ini bukan sahaja melibatkan agama tetapi juga kesejahteraan dan keharmonian kehidupan masyarakat kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama,” jelasnya.
Sehubungan itu, Mohamed Maliki turut menggesa tokoh agama lain seperti Kristian untuk tampil menyatakan pendirian berhubung isu hubungan sesama jenis.