MAJLIS BELIA MALAYSIA

‘Ambil perhatian titah sultan’

KUALA LUMPUR 9 Dis. 2012 – Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor diminta meneliti dan mengambil perhatian terhadap titah yang dizahirkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memastikan negeri itu sentiasa berada dalam keadaan aman dan sejahtera.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sudah sampai masanya Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan barisan Exconya meletakkan semula peranan Sultan sebagai bahan rujukan tertinggi terutamanya melibatkan kepentingan agama Islam serta orang Melayu.

“Sultan adalah penjaga kepentingan agama Islam dan bumiputera. Kalau tiada apa-apa, masakan Sultan hendak menasihatkan tentang sesuatu perkara secara terbuka.

“Apabila ada teguran yang dizahirkan, kemungkinan terdapat kelemahan dalam beberapa perkara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin dalam wawancara khas bersama Mingguan Malaysia hari ini berjanji akan terus membuat teguran demi kepentingan Islam, bangsa Melayu dan perpaduan antara kaum walaupun menerima tohmahan bahawa baginda seolah-olah menyebelahi parti tertentu.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda cuma memberikan nasihat secara ikhlas kepada rakyat Selangor dan tidak berasa tertekan atau menyerah kalah dengan tohmahan-tohmahan yang dilemparkan.

Tambah Nadzim, teguran Sultan Sharafuddin juga perlu dilihat dalam konteks kekeluargaan seperti ibu bapa yang menasihati anak-anaknya.

“Bapa akan memberi nasihat apabila mendapati anak-anaknya melakukan kesalahan,” katanya.

Mengulas perkara sama, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, nasihat dan teguran secara terbuka oleh Sultan Sharafuddin jarang berlaku pada pentadbiran kerajaan negeri terdahulu.

“Ini jelas membuktikan kelemahan kerajaan negeri dalam menjaga kepentingan dan kebajikan Islam serta orang Melayu sekarang ini.

“Saya bimbang apabila baginda terpaksa bertitah perkara yang sama berulang kali,” ujarnya.

Mohamed Maliki menambah, sebagai sebuah kerajaan negeri yang mempunyai Menteri Besar dalam kalangan orang Melayu seperti Abdul Khalid, mereka sepatutnya faham maksud tersirat serta nasihat yang sering dizahirkan baginda.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »