Oleh Nur Aimidiyana Zuher dan Erda Khursyiah Basir
KUALA LUMPUR, 17 Jan 2013 (Bernama) — Seiring wawasan menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, Malaysia juga berhasrat menjadi hab dan negara contoh dalam kerja sukarelawan, seperti di negara maju, dan mahu rakyat negara ini menjadikan aktiviti itu gaya hidup hidup baharu.
Bagi merealisasikan aspirasi itu, kerajaan melancarkan program 1Malaysia For Youth (1M4U) pada Julai lepas yang berteraskan gagasan 1Malaysia, bertujuan mendidik masyarakat, khususnya generasi muda untuk mencintai kerja kesukarelawan serta melengkapkan mereka dengan nilai-nilai murni, jati diri dan kemahiran insaniah yang tinggi.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi iM4U, berkata kerajaan melancarkan iM4U sebagai wadah untuk menggalakkan serta memacu aktiviti berbentuk kesukarelawan dalam kalangan belia Malaysia.
Pengarah iM4U Abdul Kahar Abdullah berkata sejak pelancarannya, lebih 50 Outreach Centre (pusat capaian) ditubuhkan di institusi pengajian tinggi dan mendapat sambutan menggalakkan daripada mahasiswa dan belia.
“Kita tidak dapat menganggarkan bilangan individu yang berdaftar. Namun berdasarkan jumlah ‘like’ di laman sosial Facebook iM4U lebih 30,000 orang telah ‘like’ dan ini merupakan satu reaksi positif daripada golongan belia,” katanya kepada Bernama.
Menurut Data Banci 2010, kumpulan belia berusia antara 15 dan 40 tahun meliputi 41 peratus daripada 27.5 juta rakyat Malaysia, atau 11.3 juta. Kira-kira tiga juta belia berdaftar dengan pelbagai persatuan seperti persatuan sukan, perkhidmatan, rekreasi, kebajikan dan alam sekitar.
Mengulas lanjut, Abdul Kahar berkata program iM4u turut menyediakan dana untuk membiayai aktiviti kesukarelawan, dan sehingga kini 142 permohonan diluluskan dengan pembiayaan sebanyak RM401,300.
Semasa pelancaran iM4U Najib mengumumkan geran RM100 juta bagi Dana Sukarelawan 1Malaysia.
Sempena Tahun Kesukarelawan Nasional tahun ini, Abdul Kahar berkata iM4U akan menganjurkan Konvensyen Sukarelawan Nasional 2013 pada Februari, bagi membincangkan pandangan serta kaedah memperkasa aktiviti kesukarelawan ke arah negara Malaysia yang lebih maju dan progresif.
Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata amalan budaya kesukarelawan dapat mendidik golongan belia menjadi warganegara bertanggungjawab, mempamer bakat dan keupayaan serta prihatin terhadap keperluan masyarakat, tanpa mengharap imbuhan tertentu.
Dalam konteks ini, negara secara tidak langsung dapat menjimatkan kos perbelanjaan membiayai sukarelawan dalam program dan aktiviti yang memerlukan mereka, katanya.
Mohamed Maliki berkata budaya kesukarelawan di Malaysia masih pada peringkat sederhana kerana lebih banyak yang berstatus pengikut berbanding menjadi pemimpin dan penggerak kepada aktiviti itu.
“Kita akan menjalankan gerakan ke arah profesionalisme kesukarelawan bagi tujuan menambah bilangan pemimpin belia profesional yang mempunyai akreditasi profesional seperti doktor, kaunselor dan guru bahasa Inggeris untuk memenuhi keperluan negara dan dunia,” katanya.
Setiausaha Jawatankuasa Khidmat Masyarakat dan Rakan Muda, Majlis Belia Malaysia Mohammad Rizan Hassan pula berpendapat aktiviti kesukarelawan di negara ini mesti disemarakkan dengan menjadikannya amalan kehidupan seharian.
“Kita dalam usaha untuk mencapai status negara maju. Kejayaan sesebuah negara tidak hanya diukur berdasarkan kemajuan dan pembangunan negara tetapi aktiviti kesukarelawan sebagai gaya hidup. Contohnya, di Jepun aktiviti kesukarelawan ini sudah menjadi amalan biasa kepada penduduk di sana, tanpa mengira peringkat usia,” katanya.
Beliau berkata aktiviti kesukarelawan tidak semestinya memerlukan dana atau peruntukan besar, tetapi lebih utama adalah sikap ingin membantu dengan niat ikhlas untuk berbakti kepada golongan yang memerlukan.
“Sukarelawan sejati tidak akan mengharapkan apa-apa imbuhan atau balasan. Kita tidak mahu dikatakan bila ada dana baru boleh buat program sukarelawan, kalau tidak ada dana tidak boleh buat. Di Jepun mereka tidak lokek mengeluarkan wang untuk membeli plastik sampah bagi mengasingkan sampah-sampah… ia telah menjadi budaya mereka,” katanya.
Mohammad Rizan yang juga penerima Anugerah Perdana Belia Negara 2011 dan Tokoh Belia ASEAN 2011, berkata aktiviti kesukarelawan bukan hanya tertumpu kepada masalah komuniti sahaja, tetapi melibatkan segala aspek kehidupan seperti bidang pendidikan, agama dan penjagaan alam sekitar.
Menyifatkan program iM4U merupakan satu pentas terbaik bagi generasi muda menonjolkan minat dalam aktiviti kesukarelawan dan memberi impak positif melahirkan generasi muda yang berjiwa murni dan penyayang, beliau berkata Malaysia perlu melahirkan lebih ramai ikon sukarelawan yang berjaya mencetuskan idea unik dan luar biasa untuk menarik lebih ramai golongan muda menyertai aktiviti kesukarelawan.
Bagi Presiden Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Reghu Devan Lopez, program iM4U mampu menarik minat golongan belia untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan.
“Saya harap 1M4U ini bukan hanya sekadar slogan namun lebih daripada itu ia perlu memberi penumpuan dan fokus kepada peringkat akar umbi seperti di kampung, estet melalui aktiviti berterusan yang dirancang,” katanya.
Presiden Kesatuan Guru Sarawak William Ghani Bina berkata semangat kesukarelawan dipupuk dalam kalangan pelajar sekolah terutama dalam mata pelajaran sivik.
“Bagi meningkatkan aktiviti kesukarelaan di kalangan pelajar sekolah, kita menggalakkan penyertaan guru dan ibu bapa untuk sama-sama turun padang bagi setiap aktiviti yang kita jalankan. Aktiviti yang dijalankan bersama secara tidak langsung akan menimbulkan kesedaran dan semangat kesukarelawan di kalangan pelajar sekaligus menjadi sebuah pengalaman berharga buat mereka,” katanya.
Bagi sukarelawan iM4U, Mohamad Syafiq Abdul Rahman, 23, berkata kerajaan hari ini mengiktiraf peranan belia untuk mencorakkan Malaysia ke arah yang lebih dinamik dan cemerlang.
“Selain mendapat kawan baru berlainan bangsa, kami (golongan belia) juga berkongsi idea, ilmu dan kemahiran yang tidak mungkin dapat diperoleh di universiti atau kolej,” kata penuntut tahun akhir Universiti Tenaga Nasional itu.
Pandangannya dikongsi Ameer Aqif Mohd Noh, 23, yang berkata aktiviti kesukarelawan bukan hanya membuka minda tetapi juga mendidik generasi muda berfikir secara matang dan rasional dalam membuat keputusan.
Anak jati Sarawak Cristine Huring, 21, berkata program iM4U itu membuka jalan dan ruang kepada generasi muda beramal dan membuat kebajikan kepada golongan tidak berkemampuan.
— BERNAMA