KUALA LUMPUR 19 Jan. 2013 – Pengundi muda perlu membuat pertimbangan sewajarnya berdasarkan tiga aspek penting iaitu rekod prestasi, asas perjuangan dan pemimpin yang baik dalam memilih kerajaan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, rekod prestasi kerajaan sekarang yang berjaya membina perpaduan masyarakat berbilang bangsa, agama, pemikiran dan budaya merupakan aspek paling penting.
Menjadikan Iraq dan Afghanistan sebagai contoh, beliau menambah, rakyat kedua-dua negara itu berperang sesama sendiri walaupun bukan terdiri daripada kaum dan agama sama seperti di Malaysia.
“Jangan sesekali memperjudikan masa hadapan negara hanya kerana ingin melakukan perubahan tanpa membuat pertimbangan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia (MBM) Kali Ke-61 di sini hari ini.
Mesyuarat itu dihadiri sebanyak 366 perwakilan daripada pelbagai persatuan belia yang turut memilih barisan baharu pucuk pimpinan MBM.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Shabery memberitahu, jumlah pengundi muda yang layak mengundi ialah kira-kira lapan juta orang berbanding jumlah keseluruhan pemilih iaitu 15 juta orang.
Sehubungan itu katanya, persatuan belia termasuk MBM perlu memainkan peranan menggalakkan generasi muda mendaftar sebagai pemilih dalam melunaskan tanggungjawab mereka terhadap negara.
“Ada orang muda yang lantang bersuara tetapi tidak mendaftar sebagai pengundi, bagi saya tidak membawa sebarang makna dalam bentuk undian,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya tentang sokongan belia terhadap program-program transformasi yang dilakukan kerajaan beliau menjelaskan, golongan tersebut memberikan maklum balas sangat positif.
“Hasil beberapa kajian yang kita lakukan mendapati golongan muda berpuas hati dengan transformasi yang dilakukan kerajaan terutama dari segi transformasi politik dan ekonomi.
“Majoriti anak muda menganggapnya sebagai perubahan positif,” katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd