IPOH – Sebanyak 26 belia di negeri ini layak bertanding pada pemilihan Ahli Parlimen Belia Malaysia (PBM) yang akan diadakan pada 22 hingga 31 Oktober ini.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Perak, Mohd Azhari Mohammad berkata, dua daripada 26 calon itu adalah wanita.
Beliau berkata, pada pemilihan itu, hanya sembilan calon dari Perak akan dipilih sebagai anggota PBM.
“Sebanyak 120 calon dari seluruh negara akan dipilih sebagai anggota PBM dengan sembilan daripadanya, dari Perak,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra calon PBM negeri Perak bersama media di sini, hari ini.
Beliau berkata, kesemua calon terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan pekerjaan serta berkelayakan sebagai anggota PBM.
Mohd Azhari berkata, PBM adalah antara inisiatif Makmal Transformasi Pembangunan Belia untuk menjadikan generasi Y sebagai fokus utama pembangunan belia negara.
Katanya, PBM adalah platform untuk belia bersuara dan mengutarakan isu-isu berkaitan belia, memberi pendedahan awal mengenai sistem demokrasi berparlimen dan menjadi perantara belia dengan kerajaan.
Beliau berkata, menurut Pendaftar Pertubuhan Belia Malaysia, sebanyak 80 peratus belia negara ini tidak terlibat dengan sebarang persatuan belia dan PBM bakal menjadi saluran untuk golongan itu memberi pandangan terhadap pembangunan belia negara.
Semua calon diberi peluang berkempen selama dua minggu bermula 8 Oktober ini sebelum pengundian berlangsung selama seminggu bermula 22 Oktober.
Undian akan dilakukan secara dalam talian dan pengundi hanya boleh mengundi calon dari negeri masing-masing. – Bernama