MAJLIS BELIA MALAYSIA

WAY iltizam sediakan orang muda penerus generasi bagi masa depan

Pertubuhan dengan keanggotaan lebih 100 juta wujud pangkalan data negara anggota sebagai rujukan pertubuhan belia, agensi global

DUNIA sedang mengalami transformasi sangat drastik dalam semua aspek termasuk ekonomi, politik, pengurusan dan pentadbiran sehingga membawa kepada pendekatan baru antara ibu bapa dengan anak mahupun misi baru kepemimpinan persatuan belia. Tempoh 2010-2012 menjadi zon melaksanakan transformasi sebelum dunia melihat sesuatu hasil daripada transformasi itu pada 2020.

Perhimpunan Belia Antarabangsa (WAY) tidak terkecuali berdepan dengan senario ini. Lantas, pengurusan kepemimpinan baru hendaklah melakukan transformasi supaya organisasi itu terus kekal, dinamik, relevan dan berkeupayaan melaksanakan peranan mahupun tanggungjawab.

Bermula dengan menyusun semula struktur dan pengurusan pada semua peringkat, WAY di bawah kepemimpinan presidennya yang baru, Datuk Idris Haron, mula merangka proses transformasi badan belia antarabangsa itu secara total.

Untuk ke arah itu, WAY perlu satu kaedah transformasi dan saya akan menumpukan usaha itu yang membabitkan 7S, katanya ketika ditemui di Melaka, baru-baru ini.

Idris adalah Presiden WAY yang ke-12 dan menang tanpa bertanding dalam persidangannya yang ke-15 di Melaka pada 22 hingga 26 November lalu. Ini satu keputusan hebat bagi Ahli Parlimen Tangga Batu itu untuk memimpin majlis belia dari 120 negara bagi penggal 2010/2014.

Transformasi 7S, katanya, membabitkan struktur, sistem, strategi, kakitangan, kemahiran dan nilai yang dikongsi (structure, system, strategy, staff, style, skill and shared values).

Beliau berkata, transformasi WAY bertujuan mewujudkan model baru pemikiran belia supaya menyertai tuntutan komuniti global yang mahu semua urusan kehidupan dilakukan dengan kesederhanaan atau mengambil jalan pertengahan dalam semua tindakan.

Belia adalah golongan yang memiliki banyak kelebihan dalam sifat dan sikap selain bertenaga serta berani tetapi mudah diperalat dan dipengaruhi ke arah yang membinasakan.

Oleh itu, model baru sahsiah dan pemikiran muda ialah supaya mereka tidak diperalat dan dipengaruhi serta lebih rasional.

Pada masa sama, kita berpegang pada konsep moderate (pertengahan). Inilah landasan yang terbaik. Dalam masa sama, kita meletakkan nilai integriti, akauntabiliti, meritokrasi dan transparensi sebagai asas perjuangan WAY, katanya yang kini memimpin majlis belia terbesar di dunia dengan keanggotaan melebihi 100 juta orang.

Idris berkata, semua tindakan dan nilai baru ini adalah menjurus untuk menjadikan WAY sebagai katalis pemikiran baru orang muda dan kemudian menghasilkan selapisan komuniti dunia yang bersikap sederhana, ada keterangkuman serta menolak semua unsur keterlampauan.

Transformasi membabitkan struktur tertinggi bertujuan supaya WAY lebih dinamik, menepati kehendak dan keperluan.

Ketika ini, struktur WAY ialah presiden dibantu lima Naib Presiden mewakili benua, seorang setiausaha agung dan tujuh jawatankuasa Exco.

WAY akan memberi peranan Naib Presiden seperti seorang ketua pegawai eksekutif bagi benua masing-masing. Mereka perlu ada program dan penanda aras prestasi dengan dibantu seorang exco serta sekumpulan jawatankuasa kerja peringkat benua.

Kemungkinan juga WAY perlu seorang Timbalan Presiden yang akan membantu tugas presiden dan memantau Naib Presiden serta majlis belia benua, katanya.

Mengenai sistem, WAY akan menerapkan sistem pengurusan yang berkesan membabitkan angka, penunjuk prestasi utama (KPI) dan kad skor di kalangan exco.

WAY juga tidak terkecuali daripada memenuhi piawaian ISO, sistem dan audit kerana kita mendukung amanah penyumbang dari seluruh dunia, katanya.

Mengenai strategi, Idris berkata, perubahan pada aspek itu perlu supaya WAY terus kekal, dapat dilihat peranan dan dirasai perkhidmatannya.

Justeru, WAY akan membina pangkalan data mengenai semua negara anggota sebagai rujukan pertubuhan belia, institusi dan agensi lain di dunia.

Dalam soal stail, Idris melihat perlunya kekangan protokol dikurangkan termasuk sambutan permaidani merah untuk pemimpinnya selain mempertingkatkan hubungan di kalangan sesama majlis belia negara melalui media maya.

Staf pula perlu faham misi, visi dan semangat WAY ditubuhkan. Mereka tidak boleh melihat kerja sebagai satu arahan selain perlu proaktif dalam melaksanakan tugas serta peranan.

Skil pula adalah sebagai pelengkap kepada produktiviti dan organisasi WAY. Kemahiran berbahasa dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa patut menjadi cara hidup, katanya.

Selain itu, kakitangan perlu mahir menggunakan aplikasi teknologi maklumat dan mengemaskinikan pengetahuan mahupun data. Kita tidak perlu lagi menggunakan kertas dalam kebanyakan urusan dan tugas, katanya.

Yang terakhir, Idris memperkatakan soal perkongsian nilai kerana tidak mahu semangat WAY ditubuhkan, luntur.

Perkongsian itu berasaskan prinsip mencari persamaan dan mengecilkan perbezaan yang menjadi teras menyuburkan persefahaman kemudian membibitkan kasih sayang sesama insan dan akhirnya menzahirkan global yang aman makmur.

WAY ditubuhkan untuk menyemarakkan demokrasi dan memastikan tidak ada pencemaran pada demokrasi. Kita akan mempromosikan keamanan ke seluruh jagat sambil mempertahankan demokrasi sampai bila-bila, katanya.

Beliau berkata, WAY akan melebarkan misi mempromosikan keamanan dan kesederhanaan ke seluruh dunia sejajar dengan slogan perhimpunan ke-15 – Kebangkitan Belia Untuk Keamanan, yang berlangsung di Melaka pada 22 hingga 25 November lalu.

Misi itu sejajar dengan hasrat dan seruan Datuk Seri Najib Razak, kepada komuniti jagat supaya mengambil jalan pertengahan dalam sikap, pemikiran dan tindakan selain mencintai keamanan. Bagi Idris, misi besar itu bukan mustahil dilaksanakan dan mencapai matlamatnya.

Beliau memberi contoh perjuangan aktivis kebebasan serta hak asasi manusia, Martin Luther King Jr. Tokoh itu bekerja secara sistematik dan konsisten sehingga berjaya merealisasikan impiannya dan terhapus diskriminasi kulit dan kaum di Amerika Syarikat. Luther King juga antara tokoh yang mengasaskan penubuhan WAY di London pada 1949. Perdana Menteri Malaysia kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein turut terbabit dalam penubuhan badan berkenaan. Sebelum Idris, Presiden WAY ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, yang menyandang jawatan itu selama tiga penggal (1993-2010). WAY adalah badan belia antarabangsa itu yang mempromosi program belia membabitkan peluang pekerjaan, persekitaran, hak asasi manusia, demokrasi, penduduk, kesihatan, dadah. pembangunan komuniti serta kepemimpinan.

Jadi dalam soal menggerakkan kebangkitan belia untuk keamanan juga bukan suatu yang mustahil kerana Luther King sudah membuktikannya. Yang penting, gerakan ini perlu disusun rapi dan konsisten.

Ada anggapan bahawa perlu ada peperangan untuk memperoleh keamanan dan hari ini juga ada pihak beranggapan untuk menghentikan peperangan itu suatu yang mustahil. Jadi WAY beriltizam akan bergerak dan meletakkan harapan supaya sampai pada satu titik masa nanti bahawa peperangan tidak lagi berlaku di dunia ini.

Di sini, kita akan teruskan peperangan kepada mereka yang berperang supaya menghentikan peperangan dan dunia ini akan menjadi lebih aman. Sambil itu, WAY akan meneruskan program memerangi penagihan dadah, buta huruf, buruh kanak-kanak, pemerdagangan manusia, AIDS serta penganiayaan wanita dan kanak-kanak, kata Idris.

WAY perlu menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensinya untuk menggerakkan misi keamanan global secara total. WAY juga perlu terbabit dalam lebih banyak isu keselamatan termasuk melalui platform rasmi, kenyataan serta penyertaan dalam misi keamanan serta kemanusiaan global.

Justeru, Idris yakin inilah orang muda yang boleh disediakan untuk masa hadapan. Mereka akan mengimbangi kelompok generasi yang masih berfikiran dan bersikap ultra yang akhirnya mengecil jika proses menyediakan generasi yang moderate, berterusan.

Beliau berkata, generasi muda bukan hanya mewarisi dunia ini daripada generasi terdahulu bahkan mereka sebenarnya meminjam dunia ini daripada generasi akan datang. Bila tiba masanya, kita perlu menyerahkan semula dunia ini dalam keadaan yang lebih sempurna kepada mereka berbanding ketika meminjamnya daripada generasi terdahulu.

Inilah yang saya katakan sebelum ini bahawa kita tidak boleh menyediakan masa depan untuk orang muda tetapi kita boleh menyediakan orang muda untuk masa depan.

Generasi muda adalah penerus generasi dan penyambung tradisi, katanya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »