MAJLIS BELIA MALAYSIA

USM, MBM bantu penulis buta

 

S. KAMALA (dua dari kiri) menerima sumbangan daripada Majlis Belia Malaysia berupa kerusi roda dan komputer riba di USM, Pulau Pinang, baru-baru ini.

PULAU PINANG 11 Jan. – Walaupun meminati bidang penulisan dan pernah berkhidmat dengan sebuah majalah berbahasa Tamil di negeri ini selama 15 tahun, S. Kamala, 51, akhirnya terpaksa akur untuk meninggalkan dunia yang dicintainya itu.

Ia berikutan penyakit tekanan darah dalam mata yang dialaminya sehingga menyebabkan Kamala mengalami masalah penglihatan dan tidak dapat melihat sejak tiga tahun lalu.

Sejak itu, ibu kepada dua orang anak itu terpisah dari dunia luar yang pernah dilihatnya sebelum ini.

Malah sehingga sekarang, Kamala belum boleh membiasakan diri sepenuhnya untuk hidup dalam serba kegelapan.

Beban dan derita Kamala tidak terhenti begitu sahaja.

Ini kerana suaminya yang mengalami masalah darah tinggi, kencing manis dan masalah jantung, kini terpaksa berulang-alik ke hospital setiap hari untuk mendapatkan rawatan.

Oleh itu, anak sulung kepada pasangan ini terpaksa berkorban, berhenti kerja sekali gus hilang punca pendapatan semata-mata untuk mengurus serta menjaga Kamala dan suami.

 

Kisah malang keluarga itu akhirnya mendapat perhatian daripada Universiti Sains Malaysia (USM) apatah lagi anak kedua Kamala, K. Kumanan, 22, merupakan salah seorang mahasiswa di universiti berkenaan.

Tidak sampai dua minggu, pihak USM mendapatkan kerjasama daripada Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk memberi sumbangan berbentuk kerusi roda dan komputer riba bagi meringankan beban salah seorang penuntutnya itu.

“Saya bersyukur dan sangat gembira apabila mendapat bantuan seperti ini. Sejak hilang keupayaan melihat, saya hanya mendengar berita televisyen dan radio.

“Pergaulan saya dengan orang lain pula terbatas memandangkan saya tidak boleh melihat dan memerlukan bantuan untuk bergerak. Dengan adanya komputer riba ini, saya akan berlatih menggunakannya bagi membolehkan saya meneruskan minat dalam penulisan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Selain itu, Kamala yang juga pernah memenangi tempat ketiga Pertandingan Menulis Cerpen Pelbagai Kaum (Menara) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tahun 1988 berkata, ada juga pihak yang sudi membantunya untuk menjalani latihan tersebut termasuklah pergerakan bagi membolehkannya berdikari.

Sementara itu, anaknya, Kumanan berkata, ketika ini hanya ayahnya mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 setiap bulan.

“Kami cuba memohon bantuan yang sama untuk ibu tahun lalu, tetapi pegawai JKM yang ditemui ketika itu memberitahu hanya seorang anggota keluarga yang boleh menerima bantuan tersebut.

“Kemudian, datang lagi seorang pegawai JKM memaklumkan bahawa kami boleh memohon bantuan untuk ibu dan menasihatkan kami membuat permohonan, tetapi sehingga sekarang masih tiada jawapan.

“Bagaimanapun saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MBM dan juga pihak universiti atas bantuan ini kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

 

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0112&pub=utusan_malaysia&sec=Utara&pg=wu_02.htm&arc=hive

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »