Sempena
Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan kali ke-69
Majlis Belia Malaysia
MEMUGAR IDEALISME PERJUANGAN BELIA
MENGANGKAT PROFESIONALISME GERAKAN BELIA
MEMBERDAYA RAKYAT JELATA PELBAGAI STRATA
“Idealisme Adalah Kemewahan Terakhir yang Dimiliki Pemuda” (Tan Malaka, 1896-1949)
Terlebih dahulu saya ingin mengalu-alukan kehadiran para perwakilan, pemerhati dan tetamu ke Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) Majlis Belia Malaysia kali ke-69.
Tahun ini menyaksikan forum muhasabah tahunan terbaik kita terpaksa dilaksanakan secara norma baharu namun ia tidak menghalang untuk kita melaksanakan tanggungjawab. Sebagai pemimpin gerakan belia yang progresif kita mestilah merangkul sikap adaptive change yang cepat boleh menyesuaikan diri dengan keadaan perubahan persekitaran yang cepat berubah dan tidak menentu. Kemahiran adaptive change perlu dirangkul dan diadaptasi oleh pemimpin gerakan belia berbanding no change, marginal change dan radical change.
Dalam erti kata lain kita juga harus ada sikap anjal atau flexible atau agile dalam mendepani perubahan yang tidak menentu. Rob Cole (2020) mendefinisikan agile atau anjal ini sebagai, “the ability to move quickly and respond to change”. Ternyata sikap anjal persis papan terjun anjal membolehkan kita menyesuaikan diri dengan cepat sekaligus mampu berhadapan dengan dengan apa jua cabaran. Cole lebih lanjut menyebutkan
“Agile is a mindset and a way of life supported by well-established ways of working, values and principles, with a widespread, informal community of devoted followers”
Masa depan yang melampau atau the extreme future yang diistilahkan oleh Profesor James Canton, Pengarah The Institute for Global Futures memaksa kita agar segera menguasai kemahiran ini. Dalam dunia digital yang serba mencabar kita juga harus terus mengekalkan sifat kemanusiaan yang semakin terhakis dek arus kemodenan dan cabaran semasa yang begitu menggila di samping membangun 5 kemahiran yang disebutkan oleh Debra Stevens dalam bukunya Stand Out iaitu Libat urus, Engage; Mendengar, Listen; Empati, Empathise; Kerjasama, Collaborate; dan Inspirasi, Inspire.
Apa guna pasang pelita,
Jika tidak dengan sumbunya;
Apa guna bermain kata,
Kalau tidak dengan sungguhnya.
Para perwakilan yang budiman,
Memugar Idealisme Perjuangan Belia
Majlis Belia Malaysia (MBM) sinonim dengan jenama kepemudaan dan kepemudian. Istilah kepemudaan menurut Imam al-Qurtubi, tokoh cendekiawan bumi Andalus Sepanyol memetik kata-kata al-Junayd sebagai sikap melakukan kebaikan kepada orang lain (badhl al-nadā), tidak menyusahkan orang lain (kaff al-adhā) dan meninggalkan rungutan kepada orang lain (tark al-shakwā). Begitulah sinonimnya anak muda dengan unsur-unsur kebaikan dan harus terus direkayasakan dengan dengan unsur-unsur kebaikan dan idealisme perjuangan yang juga sinonim dengan cogankata perjuangan MBM yang bermottokan “Belia Bertindak untuk Kebenaran dan Keadilan”.
Gerakan pencerdasan dan litearasi pendidikan belia dan rakyat terus diperkasakan dengan penganjuran Sekolah Politik, Pemikiran Za’ba dan Sekolah Sustainable Development Goals (SDG) dengan kerjasama Pusat Belia Antarabangsa (IYC) Kuala Lumpur serta pelbagai wacana intelektual yang bersesuaian dengan tahap penerimaan belia dan rakyat Malaysia.
Idealisme adalah kemewahan terakhir yang dimiliki oleh pemuda menurut Tan Melaka,seorang guru, pejuang dan ahli falsafah terkenal Indonesia. Justeru idealisme harus terus dibugarkan dalam lipatan semangat perjuangan MBM yang membawa suara rasmi belia Malaysia. MBM berperanan sekurang-kurangnya membawa suara belia Malaysia dalam pelbagai platform pembuatan dasar di pelbagai peringkat seperti Majlis Perundingan Belia Negara, Majlis Konsultasi Belanjawan Negara, Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara dan Youth Taskforce for International Affairs and Diplomacy bahkan MBM menggesa Kerajaan agar terus melibaturuskan pemimpin MBM dalam semua platform pembuatan keputusan. Selain itu, MBM juga mencadang dan menyediakan platform untuk anak muda bersuara seperti Penasihat Anak Muda Perdana Menteri (PM2PM) dan Parlimen Belia suatu ketika dahulu. MBM juga turut menghantar sendiri perwakilan anak muda dalam pelbagai wahana dan wadah untuk mereka bersuara dan bersama-sama membuat keputusan demi pembangunan negara.
Antara tugas dan peranan signifikan MBM juga membidani penubuhan wadah wadah baharu untuk anak-anak muda bersuara dan berpartisipasi mewakili kelompok kepentingan mereka sebagaimana yang dilakukan sejak awal penubuhannya seperti membantu penubuhan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) dan Persatuan Asrama Belia Malaysia. Kini MBM meneruskan tradisi kecemerlangan tersebut dengan membidani penubuhan Majlis Belia Orang Asli (MBOA) dan terkini kita menerima persekutuan Majlis Belia Orang Kurang Upaya (MBOKU). Begitu juga MBM akan terus menekuni mendekati pelbagai kelompok anak muda yang signifikan dan sedang terus membantu penubuhan Majlis Belia Tahfiz Malaysia (MBTM), Persatuan Belia Industri Kreatif (BeKreatif) dan Persatuan Pendidik Muda Malaysia selain mendayaupaya, menghakupaya dan memperkasakan badan gabungan MBM yang sedia ada.
Imej inklusif dan kemajmukan MBM akan terus dipertahankan agar menjadi platform yang mewakili suara kemajmukan dan Mini Malaysia yang memperjuangkan seluruh suara anak muda Malaysia. Kemajmukan dan kepelbagaian dalam keluarga MBM adalah keunikan MBM yang harus dibanggai dan dipertahankan sebagai asas bangsa Malaysia yang utuh.
Keunikan ini juga adalah refleksi langsung kepada konsep Keluarga Malaysia yang dicanang dan ditawarkan kepada rakyat Malaysia oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri. MBM mampu menterjemahkan konsep ini dengan baik dengan membantu Kerajaan membangunkan semula kesejahteraan ekonomi rakyat Malaysia.
MBM mahu Malaysia kembali bangkit segera menjadi negara ‘middle power’ yang menawarkan kepimpinan yang berteraskan keamanan sejagat dan kemakmuran bersama.
Mengangkat Profesionalisme Gerakan Belia
Bagi memastikan MBM terus berperanan secara signifikan, elemen profesionalisme harus terus diperkasakan. Pelbagai kritikan dan dakwaan negatif telah dilemparkan kepada MBM sebelum ini namun MBM tetap gah memainkan peranan semenjak penubuhannya pada 1948.
Untuk menjadi gerakan belia yang menjalankan tugas secara efisyen dan berfungsi dengan baik maka MBM harus mengadaptasi sikap profesional dan proporsional (bersikap sederhana). Sebagai gerakan belia yang profesional wajib mempunyai sistem penyampaian yang cekap, sistem aksi susulan yang cepat dan pantas dalam pelbagai segi. Profesionalisme juga membawa maksud memiliki Kod etika; Memiliki pengetahuan dan kemampuan yang tinggi; Memiliki tanggungjawab dan berintegriti; Memiliki perancanaan kerja yang baik; dan Memiliki kemampuan bermotivasi dan berinovasi.
Ini semua adalah formula bagi memastikan MBM dan badan gabungan terus kekal relevan.
Memberdaya Rakyat Jelata Pelbagai Strata
MBM akan terus melaksanakan tugas jurucakap kepada ‘Bottom Billion’. Ini merupakan ungkapan yang disebut oleh saudara Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, mantan Presiden MBM suatu ketika dahulu.
MBM akan terus memainkan peranan menjuarai suara belia dan rakyat dengan mengadaptasi model gerakan sosial atau social movement. Khoo Ying Hooi mendefinisikan gerakan sosial sebagai grup atau jaringan sosial atau individu yang hadir bersama untuk melakukan perubahan sosial dengan menggunakan taktik yang tidak bersifat institusi.
Semoga MBM akan terus kekal releven dengan model gerakan sosial agar memperjuangkan isu-isu rakyat dengan efisyen dan cekap.
MBM telah menyertai pelbagai arena gerakan sosial seperti Projek Bangsa Malaysia, Gerakan Rasuah Busters dan Kami Malaysia bagi menjalankan maksud komitmen ini.
Gerakan kesukarelawan seperti Relawan untuk Malaysia (RuM) merupakan sebahagian inisiatif besar MBM menggabungkan hampir 100 Ngo untuk mengkoordinasi bantuan membantu belia dan rakyat terkesan dengan Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP). MBM mengucapkan selamat bersidang kepada semua dan berharap agar MPAT kali ini berjalan lancar dan menelurkan hasil yang baik untuk belia, negara dan masyarakat global keseluruhannya.
Bertarikh : 25 September 2021