MAJLIS BELIA MALAYSIA

Sukar kuasai bahasa Melayu?

Oleh Adli Shahar
2011/05/11

Sikap ambil mudah belia negara ini menyebabkan perkara terbabit berlaku

RAMAI beranggapan bahawa bahasa Melayu mudah dikuasai dan kerana itu tidak perlu dipelajari sedangkan hakikatnya menguasai bahasa itu dengan betul memerlukan kesungguhan daripada penuturnya.

Selain itu, sikap mengagung-agungkan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu turut menjejaskan kedudukan bahasa rasmi negara ini diperakukan antara penyebab pada Seminar Memartabatkan Bahasa Melayu Dalam Kalangan Belia Pelbagai Kaum.

Ada baiknya juga belia pelbagai kaum di negara ini merenung nasihat Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A Aziz Deraman, ketika memperkatakan Dasar Bahasa dan Peranan Generasi Muda Pelbagai Kaum.

“Dasar Bahasa Melayu dan fungsinya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu difahami dan dihayati, selain kajian DBP pada 1996 menunjukkan bahasa kebangsaan belum dapat digunakan dengan meluas atau bukan bahasa utama komunikasi.

“Menurut kajian itu, bagi urusan komersial dan perdagangan dalam negeri, industri sains dan teknologi serta urusan dalam negeri yang lain, tempat Bahasa Melayu diambil oleh bahasa asing terutama Bahasa Inggeris.

“Malah, kajian terbabit juga mendapati kualiti Bahasa Melayu yang diguna pakai di kalangan belia negara ini didapati merosot, terutama apabila diguna secara bercampur aduk dengan Bahasa Inggeris,” katanya pada seminar anjuran Majlis Belia Malaysia dengan kerjasama DBP.

Pasti ramai yang tidak dapat menafikan dakwaan A Aziz bahawa sikap sesetengah penutur Bahasa Melayu sendiri menyebabkan penggunaannya merosot, terutamanya ‘orang kota’ yang lebih selesa bercakap atau menggunakan Bahasa Inggeris bukan pada tempatnya.

Ibu muda ditegur kerana gemar mendendangkan anak dengan Are You Sleeping, Baa Baa Black Sheep, atau Twinkle Twinkle Little Star, lanjutan pendidikan anak di bangku prasekolah, tanpa berasa kehilangan Rasa Sayang, Can Mali Can dan Tepuk Amai-amai yang merakam keindahan pantun.

Pada akhir pembentangan, Aziz mencadangkan tugas pengukuhan Bahasa Melayu dilihat dalam dua aspek, iaitu sebagai bahasa yang ada nilai ekonomi dan perpaduan serta kesatuan bangsa yang diamalkan semua kaum tanpa dipengaruhi prejudis, sentimen kaum mahupun politik sempit.

“Bahasa Melayu secepat mungkin perlu didorong keberadaannya di pentas antarabangsa dengan perancangan yang strategik dan berhikmah. Pihak berwewenang perlu merangka strategi baru bagi merealisasikan hasrat ini,” tegasnya.

Lalu, gerakan kesedaran bahasa bukan saja bagi menjana semangat nasionalisme dan patriotisme, bahkan sebagai gelanggang untuk menyemai cita-cita besar menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa negara yang benar-benar berfungsi.

Bagi Presiden Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF), Goh Hin San pula, salah satu sebab perkara itu berlaku adalah kerana sifat Bahasa Melayu yang mudah dipelajari, tetapi sukar dikuasai.

Ia dikatakan mudah dipelajari kerana menggunakan sistem ejaan dengan vokal dan konsonan jelas, tidak seperti bahasa Cina yang rumit penulisan dan ejaannya, lalu kelebihannya itu mendorong sesetengah belia mudah berpuas hati dan menganggap bahasa pertuturan mereka boleh difahami orang lain.

“Ini menyebabkan mereka tidak lagi berusaha untuk mempelajari dan menguasainya dengan lebih mendalam, malahan ada yang mengabaikannya terus,” katanya.

Selain itu, perbezaan sosiobudaya juga adalah faktor mengapa sesetengah belia bukan Melayu sukar menguasai Bahasa Melayu, walaupun diajar bahasa ini selama beberapa tahun termasuk dalam silibus pendidikan di sekolah.

Beliau menasihatkan belia pelbagai kaum berusaha memahami dan menerima hakikat bahawa sosiobudaya yang berlainan ini menimbulkan perbezaan pemahaman dalam penggunaan bahasa kebangsaan.

“Gejala ini bukanlah satu masalah, tetapi lebih kepada fenomena sosiobudaya masyarakat yang datang daripada pelbagai latar belakang dan keturunan. Penggunaan bahasa kebangsaan dalam konteks sosiobudaya hendaklah diambil kira agar wujud masyarakat yang saling memahami,” ujarnya

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »