
SEJAK kebelakangan ini, belia negara kita dilanda pelbagai krisis moral dan nilai sehingga menimbulkan perasaan pesimis di kalangan masyarakat terhadap kewibawaan mereka untuk memacu pembangunan negara pada masa hadapan.Kebimbangan yang disuarakan itu memang mempunyai asas kerana krisis berkenaan sekiranya tidak diperbaiki dengan segera akan menyebabkan generasi pewaris negara menjadi beban masyarakat dan bukannya aset seperti yang diharapkan.
Dalam satu wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM baru-baru ini, Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), DATUK IRMOHIZAM IBRAHIM (gambar) menegaskan bahawa masih terdapat harapan untuk menyelesaikan segala permasalahan yang wujud itu supaya belia dapat memberikan sumbangan berguna kepada masyarakat.
UTUSAN: Tahniah kerana telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Belia ASEAN 2010 di Manila, Filipina pada Disember lalu?
IRMOHIZAM: Sebenarnya anugerah ini merupakan pengiktirafan oleh Sekretariat ASEAN terhadap sumbangan pemimpin belia ke arah pembangunan generasi muda dan masyarakat di Asia Tenggara serta negara di mana pemimpin berkenaan berasal.
Saya menganggap pengiktirafan yang diberikan ini adalah milik seluruh belia di Malaysia. Saya berazam untuk menjadikan anugerah ini sebagai landasan untuk mengeratkan hubungan belia di negara-negara ASEAN.
Anugerah ini akan menguatkan lagi azam saya untuk mempromosikan gagasan 1Malaysia di samping membela nasib belia yang tercicir supaya mereka dapat meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.
Saya juga berharap pengiktirafan ini akan memberi galakan kepada generasi muda Malaysia untuk terlibat dalam pertubuhan dan aktiviti belia. Mereka bukan sahaja harus cemerlang sebagai pemimpin pertubuhan belia di peringkat tempatan, malah perlu bersedia bersaing sehingga ke peringkat antarabangsa.
Wujud kebimbangan bahawa krisis moral dan nilai yang dihadapi belia sekarang gagal ditangani dengan berkesan?