SIARAN MEDIA
SIRI BUAL BICARA “YOUTH LEADERS”
TAJUK SIRI 9 : “FAHAMI SENTIMEN BELIA CINA”
Sejak berlakunya tsunami politik melibatkan pengundi Cina pada pilihan raya umum ke-13, banyak pihak membuka mata mengenai isu ini dan mempersoalkan tentang peranan dan apa kehendak majoriti kaum kedua terbesar di Malaysia ini. Adakah mereka marah dengan kerajaan yang tidak melayan kehendak atau kepentingan mereka?
Isu ini dikupas menerusi bual bicara Youth Leaders dengan hujahan pemimpin belia Cina iaitu Chook Wai Mun, Presiden Gerakan Belia Bersatu Malaysia dan Lee Han Kie dari Pergerakan Pemuda Malaysia. Sean Lim, Timbalan Presiden Kebangsaan, Junior Chamber International Malaysia bertindak sebagai moderator.
Chook menyambut baik agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang merupakan perancangan terbaik kerajaan untuk memacu negara ke arah negara maju untuk 30 tahun akan datang. Namun begitu, penglibatan golongan belia Cina bersikap dingin terhadap penganjuran program-program kerajaan selama ini termasuklah dialog TN50.
“Sambutan golongan belia Cina terhadap program TN50 amatlah menghampakan. Mereka sepatutnya mengambil peluang yang ada untuk memberi pandangan mengenai hala tuju negara pada masa hadapan,” katanya yang juga Presiden Gabungan Lapan Pertubuhan Belia Cina (EMCO).
Lee turut mengakui hakikat tersebut, namun menafikan kurangnya penglibatan belia Cina dalam program-program ini tidak bermaksud mereka tidak ambil tahu atau tidak menyayangi negara.
“Perkara ini amat subjektif, kaum Cina merupakan golongan yang lebih mendiamkan diri dan tidak meluahkan sesuatu secara jelas. Jika dilihat dari sudut positif, negara kita baru sahaja mengadakan Sukan SEA ke-29, lihat bagaimana atlet-atlet Cina bersama-sama berjuang mengharumkan nama negara” ujarnya.
Beliau juga menekankan perlunya pendekatan holistik dan segar dalam menarik minat golongan belia Cina dalam menyertai persatuan belia. Ia perlu bermula diperingkat sekolah rendah lagi, jika di universiti kebanyakan mereka sudah fokus kepada masa depan dan setelah tamat pengajian mereka cenderung mengutamakan bidang ekonomi atau pekerjaan.
Menyentuh mengenai penglibatan belia Cina dalam politik, Chook menyatakan telah timbul kesedaran yang tinggi dalam kalangan belia Cina terhadap sistem demokrasi negara. Ini boleh dilihat menerusi peningkatan daftar pengundi Cina dalam pilihan raya umum ke-14.
“Mereka mempunyai pemikiran yang rasional tentang hak mengundi dan mereka perlu bijak dalam menggunakan hak ini untuk menentukan kepimpinan dan masa depan negara” katanya.
Video penuh temu bual ini boleh disaksikan dan juga dimuat turun melalui platform media MBM seperti yang dinyatakan di bawah.
Klik link dibawah untuk saksikan
https://www.youtube.com/majlisbeliamalaysia
atau boleh juga saksikan di fb ini
https://www.facebook.com/malaysianyouthcouncil/
Sebarang pertanyaan mengenai program ini, sila hubungi Sdr. Mohammad Rizan Hassan, Ketua Penerangan MBM di talian (013) 773 3676.
Terima kasih.
AHMAD SAPARUDIN YUSUP
Setiausaha Agung
Majlis Belia Malaysia
Tarikh : 6 April 2018
Tel : (013) 3734934
Emel : mbmsua@gmail.com