SAUDARA PENGARANG,
MAJLIS Perundingan Belia Negara (MBPN) Sidang III Penggal ke-31 Tahun 2017-2018 yang bersidang baru-baru ini dilihat akan menyaksikan perubahan cara berfikir dan bekerja pemimpin belia dalam memperjuangkan isu dan cabaran pembangunan belia dalam era Malaysia Baru.
Pembangunan belia mempunyai dua kerangka yang perlu diberi perhatian iaitu pelaksanaan dan pendekatan. Kebiasaannya aspek pelaksanaan tidak timbul masalah kerana adanya institusi pelaksana, dasar, program dan kewangan.
Namun cabaran besarnya ialah kekurangan pendekatan yang bersesuaian dan berkesan.Golongan belia sentiasa mahu suara mereka didengar, isu-isu mereka dibincangkan dan peranan mereka diiktiraf.
Semuanya ini adalah dengan cara betul berorientasi dan mesra belia. Di sinilah relevannya MPBN yang dilaksanakan di peringkat pusat dan diperluaskan di peringkat negeri dan daerah.
Konsep dialog di MPBN perlu ditumpukan dengan saluran-saluran yang efektif.
Pemimpin belia perlu mempergunakan MPBN ini untuk memperluaskan pandangan mereka. Ini akan membantu kerajaan mengikuti dengan dekat segala perubahan yang berlaku dan mendahului masa depan dengan bantuan suara akar umbi belia yang berada di lapangan masyarakat.
Majlis Belia Malaysia (MBM) akan sentiasa konsisten melihat pelbagai aspek dan cara untuk melibatkan golongan belia secara menyeluruh dalam kepentingan negara.
Tumpuan perlu diberikan kepada jenis perkhidmatan belia dalam konteks pembangunan negara.
Jenis latihan kepimpinan seperti Malaysian Future Leaders School (MFLS) perlulah digunakan untuk memberi belia pengalaman berharga dalam mempelajari hidup dan kerja bersama-sama supaya mereka memahami apakah erti perpaduan yang sebenar.
MUHAMMAD FADZLI HASAN
Timbalan Presiden MBM
© Utusan Melayu (M) Bhd