MAJLIS BELIA MALAYSIA

Potong atau tidak

Oleh Nor Hatina Shuib

Mangsa renjatan khuatir kudung tangan

SHAH ALAM: Mangsa renjatan kabel elektrik yang melecur hampir 35 peratus tubuhnya kini serba salah mahu membenarkan kedua-kedua tangannya dipotong atau membiarkannya terus kehitaman akibat dijangkiti kuman.

Muhammad Hairuman Miskon, 22, pelajar kolej swasta di Kuala Selangor terkena renjatan ketika mengambil upah mengait kelapa sawit di Jalan Masjid Baru, Tanjung Karang pada 26 November tahun lalu.

Kakak mangsa, Maryuni, 32, berkata ketika kejadian adiknya bersama seorang rakan tidak menyedari wayar elektrik yang didakwa tiada penebat bergantungan pada dahan sawit.

“Pada malam sebelum kejadian, hujan lebat menyebabkan pokok basah. Adik yang ingin membuang dahan itu turut menarik wayar elektrik menyebabkan wayar itu meletup.

“Adik terpelanting dari pokok dan jatuh tertiarap, manakala mulutnya berbuih. Rakannya segera mendapatkan bantuan,” katanya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), semalam.

Beliau berkata, adiknya kemudian dimasukkan ke Hospital Tanjung Karang sebelum dihantar menjalani rawatan 13 hari di Hospital Sungai Buloh.

Katanya, Muhammad Hairuman dipindahkan ke HTAR bagi menjalani pembedahan membuang kedua-dua tangannya yang mula kehitaman dan kelihatan seperti rangka.

“Doktor memaklumkan urat pembuluh darahnya terkoyak dan pecah. Ada juga doktor mengatakan rawatan laser boleh dibuat dan saya bingung sama ada mahu menandatangani kebenaran tangannya dipotong atau guna kaedah lain,” katanya.

Maryuni berkata, adiknya itu ialah anak ke-10 daripada 11 beradik yatim piatu dan beliau bimbang masa depan adiknya jika kedua-dua tangannya kudung.
Beliau berharap ada pihak sudi menghulurkan bantuan kaunseling dan kewangan bagi meringankan bebannya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Majlis Belia Malaysia (MBM), Abdul Rizam Mohd Akhir, berkata pihaknya akan berusaha mencari penaja untuk membantu Muhammad Hairuman.

“Kita juga akan lancarkan tabung kilat dan mendapatkan bantuan agensi kerajaan bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa,” katanya.

“Saya bekerja sendiri dan perlu menunggu adik setiap hari di hospital. Beban kini semakin bertambah apabila kos rawatan bagi mencegah kulit adik daripada pedih, amat tinggi, selain saya perlu menanggung seorang kakak yang mengalami masalah lembam.

“Saya berharap ada doktor pakar daripada mana-mana hospital boleh membantu kerana kos rawatan adik dijangka dijangka mencecah RM15,000 sebulan kerana ia membabitkan kecederaan akibat terbakar teruk,” katanya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »