Majlis Belia Malaysia (MBM) telah menganjurkan buat julung kalinya Persidangan Setiausaha-Setiausaha Badan Gabungan MBM pada 13 Februari 2015 di Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS), Putrajaya dan majlis perasmian telah disempurnakan oleh Datuk Hatipah Hj Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara.
Dalam ucapannya, beliau menyambut baik usaha dan inisiatif MBM ini dalam menyalurkan maklumat dan membina persefahaman bagi merangka program-program yang akan dilaksanakan.
“Sudah pasti, KBS mengenalpasti dan mengiktiraf peranan badan gabungan MBM, persatuan-persatuan belia dan MBM sebagai pihak yang bekerja rapat dengan pemegang taruh kita iaitu ‘belia’. Malah setiausaha merupakan tunjang kepada pengurusan dan tata kelola persatuan yang berkesan”, ujarnya.
Persidangan ini dipengerusikan oleh Setiausaha Agung MBM, Ahmad Saparudin Yusup dan dihadiri seramai 30 orang Setiausaha-setiausaha dari 38 buah badan gabungan MBM dari seluruh negara.
Antara objektif persidangan ini adalah bagi memperkukuhkan tugas-tugas dan keperluan pengurusan dan tadbir urus persatuan belia supaya lebih efisien dan mapan selari dengan situasi dan kehendak semasa.
Persidangan ini dibahagikan kepada dua slot pada sebelah pagi dimulakan dengan sesi penerangan oleh pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Belia dan Sukan Negara, Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), Sekretariat Majlis Perundingan Belia Negara, Sekretariat Hari Belia Negara dan Jabatan Kewangan JBSN.
Antara isu-isu yang disentuh ialah mengenai pendaftaran pertubuhan belia, isu kepemimpinan, bantuan geran kewangan NGO, sambutan Hari Belia Negara 2015 dan usul-usul Majlis Perundingan Belia Negara.
Pada sebelah petang pula, perbincangan tertumpu kepada sesi dua hala mengenai perancangan dan hala tuju pergerakan belia. MBM telah membentangkan kertas bertajuk MBM in Business (MIB) sebagai satu platform mendekati anak muda masa kini yang cukup terdedah dengan teknologi dalam aktiviti seharian mereka.
Menyentuh hasil persidangan, Setiausaha Agung MBM berkata, MBM dan badan gabungan mengucapkan terima kasih kepada KBS dan berharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan demi pembangunan belia Malaysia secara khususnya bagi merancakkan serta menggerakkan program dan pertubuhan belia di tempat masing-masing.
Usaha ini amat penting sebagai persediaan kepada pertubuhan belia untuk menyediakan barisan kepemimpinan, tadbir urus yang terbaik selain menyediakan kerangka bersesuaian bagi membolehkan program pembangunan belia dan pertubuhan belia dapat diselaraskan.
Sementara itu Zamri Mat Isa, Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) melahirkan rasa teruja dan mengharapkan medium ini menjadi faktor pendorong kepada kemantapan organisasi belia. Pendapat ini turut disokong oleh Mohamad Zakir Abdul Rahman, Setiausaha Agung Majlis Belia Selangor yang mengharapkan satu lonjakan baru dapat digembeling dengan adanya wahana seperti ini dan ia memberi pengiktirafan kepada peranan setiausaha pergerakan belia yang lain.