TANYALAH sesiapa sahaja. Mereka yang pergi, singgah ataupun merentasi Putrajaya sejak Jumaat hingga Ahad lepas pastinya akan ‘tabik’ dengan komitmen Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Belia Malaysia kerana berjaya menghimpunkan lebih sejuta belia di sana. Dengan program bercampur-baur, berkonsepkan kerohanian, keagamaan, hiburan dan pelbagai lagi, sambutan hangat diterima daripada pengunjung dari segenap ceruk.
Tetapi ada pihak lain yang tidak senang malah begitu gusar dengan perkembangan ini. Sehinggakan jumlah hadirin disanggah mereka. Kata mereka ini, kalau dikirakan ‘bayang’ seorang hadirin pun, ia tidak akan mencecah sejuta.
Namun sesiapa yang sudah pergi ke Pusat Pentadbiran Persekutuan itu dalam tempoh tiga hari tersebut akur dengan angka ini. Itu belum lagi termasuksambutan hebat yang diterima dalam Kejohanan Rentap Futsal 2 Kosmo!.
Hakikatnya, program Himpunan Sejuta Belia itu merentap ego pembangkang. Di sana sini pembangkang bercerita perkara itu. Di Kerdau, Pahang pada Sabtu malam lepas, Anwar Ibrahim juga membawa program itu dalam ceramahnya.
Dakwanya, kerajaan ‘tersilap’ membaca isi hati belia sebaliknya dia mendesak pula golongan muda supaya membawa perubahan dengan menukar kerajaan sedia ada. Sekali lagi Ahad lepas, Penasihat PKR itu membawakan program Himpunan Sejuta Belia itu dalam satu majlis dihadirinya di Petaling Jaya.
Dan tidak sukar sebenarnya membaca isi hati Anwar yang ketika ini memang cukup resah dengan kerja keras Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merencana, menggerak serta menjayakan projek-projek berkepentingan rakyat dalam pelan pentadbirannya.
Sejak beberapa bulan lepas, pembangkang sering mempergunakan gerakan menjatuhkan kerajaan di beberapa negara Asia Barat dan utara Afrika dalam usaha mempengaruhi dan membakar sentimen rakyat negara untuk menentang kerajaan. Dalam dua pilihan raya kecil di Kerdau dan Merlimau sebelum ini, ia diperhebatkan. Namun, ia menemui titik noktah selepas kemenangan cemerlang BN.
Cuma di Sarawak April lepas, sentimen itu sekali lagi cuba ‘disegarkan’ tetapi nampaknya kempen perkauman DAP lebih menonjol – meninggalkan PKR dan Pas terkontang-kanting dengan isu sebegitu.
Orang muda terutama belia amat penting bukan sahaja untuk menjayakan program transformasi kerajaan tetapi juga untuk menjamin mandat kerajaan sedia ada disambung pada Pilihan Raya Umum ke-13.
Ini penting untuk memastikan program transformasi itu tidak terencat. Kalau dikira, para belia mewakili 4,520,456 orang atau 38.28 peratus daripada keseluruhan 11,811,452 orang pengundi berdaftar yang disahkan SPR setakat Disember lepas. Malah, terdapat 3,939,247 orang lagi yang melepasi had kelayakan umur 21 tahun belum lagi mendaftarkan diri.
Dengan pengundi berusia lebih 50 tahun kini tidak lagi ramai, maka sudah tentulah kita memahami mengapa pembangkang khususnya Anwar cukup ‘pucat lesi’ apabila mendengar dan menyaksikan kelibat sejuta belia berkumpul di Putrajaya tempoh hari.
Sabtu lepas, Perdana Menteri mahukan sambutan yang lebih hebat lagi di Putrajaya tahun depan dengan sasaran belia yang berkumpul nanti mencecah dua juta orang.
Pastinya ‘pucat lesi’ pembangkang akan bertukar menjadi raut wajah yang kusam.