Hasrat tukar Jalur Gemilang, perlembagaan jika berkuasa tak hargai sejarah
KUALA LUMPUR: Hasrat terbuka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah dari DAP, M Manoharan untuk menukar Jalur Gemilang jika pembangkang berjaya menawan Putrajaya adalah petanda niat sebenar pakatan itu untuk merombak segala-galanya di negara ini tanpa menghormati serta menghargai sejarah dan warisan milik rakyat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Malah, Timbalan Perdana Menteri tidak menolak kemungkinan pembangkang mungkin turut meminda Perlembagaan Persekutuan kerana pernah menyatakan kehendak untuk berbuat sedemikian kerana tidak berpuas hati terhadap beberapa bahagian yang termaktub di dalamnya.
Jika itu berlaku, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, ia akan memberi kesan yang besar, termasuk kepada struktur sosioekonomi dan budaya di negara ini, sekali gus rakyat berhadapan dengan suatu fenomena luar biasa.
“Menukar segala-galanya hanya kerana mereka (pembangkang) kata mereka sudah berkuasa… mudah-mudahan mereka tidak berkuasa. Tidak ada penghormatan kepada sejarah, tiada penilaian diberikan kepada apa yang sudah menjadi kepunyaan rakyat Malaysia… tidak menghargai langsung. Jadi bagi saya, ini suatu perkara yang harus dijadikan iktibar oleh rakyat.
“Mereka tidak menunjukkan nilai akhlak tinggi dan tidak menghormati hak, budaya serta warisan bangsa, maka rakyat harus dapat membuat perbezaan. Segala yang kita lakukan sejak merdeka sampai hari ini ialah hasil perjuangan rakyat menerusi kerajaan BN. Sebab itu, mereka hendak menidakkan semua yang kita capai,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Nasional Parti Makkal Sakti Malaysia 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.
Hadir sama Presiden Parti Makkal Sakti, Datuk R S Thanenthiran dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Pada majlis itu, Muhyiddin turut menerima memorandum berhubung isu masyarakat India daripada Thanenthiran.
Akhbar kelmarin melaporkan Manoharan dalam laman Facebook peribadi memaklumkan beliau mengedarkan bendera DAP di kawasannya dan menolak untuk mengibarkan bendera Malaysia kerana ia kelihatan lebih BN daripada Malaysia.
Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee mendesak Manoharan meletakkan jawatan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan.
“Kenyataan Manoharan mencerminkan sikap seorang yang tidak bertanggungjawab… ia menunjukkan contoh yang tidak baik kepada pemimpin lain kerana mereka hanya perlu meminta maaf apabila melakukan kesilapan tanpa dikenakan sebarang tindakan.
Kita berharap golongan belia menolak pemimpin seperti ini kerana cuba menolak asas kenegaraan,” katanya.
Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Shafie Bakri pula meminta pembangkang tidak mempolitikkan isu remeh, sebaliknya terus memberi tumpuan bagi membina negara ini ke arah lebih maju dan cemerlang.