Kebanyakan belia orang kurang upaya (OKU) tiada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi punca golongan itu sukar mendapatkan pekerjaan bagi menampung keperluan ekonomi dan kehidupan mereka.
Presiden Majlis Belia OKU Malaysia, Mohd Faiz Shuhaimi berkata, belia OKU yang mempunyai kelulusan akademi di peringkat lebih tinggi sekali pun masih berdepan kesukaran sama apabila tawaran pekerjaan tidak setara keperluan fizikal mereka disebabkan kemudahan akses terhad.
Jelas beliau, meskipun pelbagai insentif diwujudkan kerajaan, ia masih belum benar-benar mencukupi bagi memastikan golongan itu, khususnya kira-kira 200,000 belia OKU mendapat tempat sewajarnya.
Ikuti wawancara eksklusif Wartawan Sinar Ahad, NURHIDAYAH HAIROM dan NURATIKAH ATHILYA HASSAN serta jurugambar, MOHD HALIM ABDUL WAHID bersama Mohd Faiz yang juga Exco Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi menyingkap pelbagai dilema dihadapi OKU yang perlu diberi perhatian sewajarnya.
SINAR AHAD: Boleh terangkan serba sedikit mengenai Majlis Belia OKU Malaysia dari segi fungsi dan peranannya?
MOHD FAIZ SHUHAIMI: Majlis Belia OKU Malaysia diwujudkan pada 16 Julai 2021 dengan fokus untuk mewujudkan satu platform mengangkat dan membawa suara belia OKU kepada pihak berkaitan khususnya agensi kerajaan. Pada masa sama, kami berperanan melaksanakan program pembangunan kepada belia OKU.
Berapa jumlah belia OKU di negara ini?
Jika merujuk kepada jumlah OKU berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daripada statistik Disember 2023, seramai 691,000 individu kategori OKU termasuk 150,000 hingga 200,000 belia berusia 15 sehingga 40 tahun.
Berapa pula jumlah keahlian Majlis Belia OKU Malaysia?
Secara umumnya, kami mempunyai tiga cawangan iaitu di peringkat negeri Johor, Selangor, juga Kedah dan kami dalam proses menubuhkan cawangan Wilayah Persekutuan. Sehingga kini ahli berdaftar sekitar 500 orang. Sebagai pertubuhan belia baharu, kita juga dalam usaha menambah penglibatan golongan muda.
Antara isu kerap dibangkitkan dan dihadapi belia OKU di negara ini?
Perkara utama berkaitan OKU adalah isu ekonomi dan pendidikan. Ramai dalam kalangan mentor saya dan juga pihak berkaitan mengakui perkara ini. Sebab dalam isu ekonomi, sekiranya golongan OKU tidak mempunyai pendapatan dan tiada pekerjaan, mereka akan terdedah kepada risiko seperti gejala sosial serta tertekan sebagai miskin bandar atau asnaf. Ia juga berkait pekerjaan kerana majoriti OKU tidak dapat melanjutkan pengajian mereka ke peringkat pengajian tinggi atau keciciran ketika persekolahan.
Jumlah mahasiswa OKU di IPT (institut pengajian tinggi) di negara kita adalah kurang daripada satu peratus bagi setiap universiti. Jadi, majoriti belia dan OKU berada di luar lingkungan pendidikan tinggi dan lepasan sekolah. Bagi belia OKU yang mampu bersekolah dan memiliki SPM, mereka boleh melanjutkan pengajian. Namun, sebenarnya majoriti belia OKU tidak mempunyai SPM.
Bagaimanapun, kini mereka mempunyai Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM) yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bermula 2021 (untuk murid berkeperluan khas). Apabila tiada taraf akademik sesuai, mereka sukar dapatkan pekerjaan. Kita juga lihat peluang pekerjaan ditawarkan kepada OKU biasanya tidak setara atau tidak sesuai dengan keperluan mereka. Sebagai contoh, golongan OKU fizikal berkerusi roda (walaupun) boleh laksanakan tugas pengurusan tapi mereka mempunyai halangan dari segi akses untuk bergerak di pejabat yang tidak mesra OKU.
Bagaimanakah bentuk penyelesaian kepada isu yang sering membelenggu OKU belia ini?
Bagi golongan OKU yang tidak cenderung kepada kemahiran akademik, kita perlu mempelbagaikan lagi pusat TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia) berasaskan kemahiran.
Ia memberi peluang lebih ramai OKU menyertai TVET bagi membolehkan mereka mendapat kemahiran dan kelayakan bersesuaian, seterusnya mendapat peluang pekerjaan.
Secara peribadi, sebenarnya sejauh mana penerimaan orang ramai terhadap OKU?
Saya tidak nafikan kalau dibandingkan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun lalu, mungkin penerimaan masyarakat terhadap isu atau OKU adalah sangat rendah disebabkan ketika itu maklumat berkaitan juga terhad. Bahkan, sebelum ini kalau kita membicarakan soal autisme, ADHD dan Sindrom Down, tiada maklumat di pelbagai media.
Kini dengan jaringan dan juga sokongan dilaksanakan pelbagai pihak kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membolehkan informasi berkaitan OKU diketengahkan. Pada masa sama, masyarakat juga lebih memahami apakah sokongan dan keperluan OKU. Bagaimanapun, dari aspek kesedaran kepada masyarakat terhadap sokongan serta keperluan golongan OKU perlu diteruskan. Masih ada juga individu menyalah guna fasiliti OKU dan contoh paling mudah adalah parkir khas OKU. Ia satu isu yang perlu kita lihat berkaitan sokongan terhadap OKU melibatkan kerajaan pusat, negeri dan lebih utama pihak berkuasa tempatan (PBT).
Ramai OKU belia mempunyai kelayakan tinggi tetapi bagaimana peluang pendidikan, pekerjaan dan penglibatan mereka sebagai usahawan?
Ada pelbagai inisiatif diberikan kerajaan bagi menggalakkan lebih ramai golongan majikan terutama pihak swasta mengambil pekerja OKU termasuk dalam kalangan mahasiswa dan graduan.
Contohnya, Maybank dan McDonald mengambil ramai pekerja OKU. Di bawah inisiatif kerajaan juga diwujudkan polisi satu peratus penempatan atau pengambilan pekerja OKU dalam sektor perkhidmatan awam di negara kita sejak 2010.
Setakat Julai 2023, jumlah OKU termasuk graduan OKU diterima dalam sektor perkhidmatan awam adalah sekitar 0.3 peratus, bermakna ada banyak lagi ruang pengambilan untuk OKU. Sementara di sektor swasta, kita dapat lihat trend pengambilan ramai pekerja OKU apabila ada pelbagai insentif diberikan kerajaan termasuk potongan cukai berganda bagi setiap OKU digajikan.
Adakah peluang dan insentif sedia ada ini mencukupi untuk golongan belia OKU?
Ini kita tidak nafikan jika tidak mencukupi. Hal itu disebabkan masih ada ketidakfahaman majikan terhadap keperluan mengambil atau sokongan untuk mengambil pekerja OKU. Ia memerlukan usaha berterusan pihak kerajaan dan NGO bagi memberi penerangan untuk membolehkan lebih ramai majikan menyedari inisiatif diterima jika mengambil pekerja OKU. Pada masa sama, kita tidak mahu membiarkan majikan melihat golongan OKU sebagai bebanan kerana perlu sediakan kemudahan untuk mereka.
Kita harus mengubah persepsi ini. Hak dan keperluan OKU sama seperti individu lain, bahkan sebarang bentuk fasiliti sokongan kepada OKU sebenarnya baik untuk dimanfaatkan individu lain, contohnya wanita hamil dan warga emas.
Boleh kongsi kisah kejayaan belia OKU yang mungkin boleh menjadi inspirasi kepada mereka di luar sana?
Kita mempunyai tokoh atau ikon OKU seperti Mohd Sukur Ibrahim, seorang OKU kerdil yang menjadi usahawan berjaya. Pada masa sama, kita juga mempunyai golongan profesor OKU dan ahli akademik, contohnya di Universiti Malaya (UM) ada pensyarah OKU penglihatan. Selain itu dalam bidang sukan, ramai atlet OKU menyumbang kejayaan negara dalam pelbagai pertandingan.
Jadi, masyarakat perlu melihat golongan OKU bukan lagi melalui aspek kebajikan semata-mata.
Jika kita lihat tidak ramai kumpulan ini terlibat dalam politik, mengapa?
Penglibatan politik memerlukan seseorang individu yang ada pengalaman atau pendedahan kepimpinan sebagai asas. Jadi, kalau kita kembali kepada struktur dan juga asas dalam pendidikan yang bukan dari sekolah pendidikan khas, adakah mungkin melantik seorang pemimpin OKU? Jadi, aspek pendedahan kepimpinan tidak wujud di peringkat akar umbi atau pendidikan sekolah dan ini memberi kesan apabila tidak ramai bakat kepimpinan OKU dapat diketengahkan.
Namun, kita tidak nafikan wujud keterbukaan daripada parti politik melibatkan OKU dalam parti masing-masing. Kita mempunyai ramai OKU berkepakaran tetapi sekiranya mereka ini tidak diberikan ruang atau tempat sewajarnya dalam mana-mana parti politik, bakat mereka tidak dapat diketengahkan.
Mungkin ada saranan kepada belia OKU di luar untuk menyertai persatuan atau gerakan dan mengapa ia begitu penting?
Kepentingan golongan kurang upaya menyertai persatuan atau gerakan adalah bagi memastikan isu komuniti setempat dihadapi OKU dapat diketengahkan kepada pihak berwajib. Ia berperanan sebagai sistem sokongan utama kerana akan mewujudkan satu peluang perkongsian dan tunjuk ajar antara satu sama lain. Contohnya, bagi mereka yang sudah lama menyertai aktiviti berpersatuan akan mempunyai lebih banyak pengalaman dan boleh dikongsi kepada belia.
Bagaimanapun, kita perlu melihat kepentingan ini menerusi aspek libat urus. Sebarang inisiatif ingin dilaksanakan kerajaan sama ada di peringkat pusat, negeri dan PBT perlu dibincangkan atau dilaksanakan bersesuaian dengan mereka.
Apakah pandangan saudara mengenai usaha mengangkat golongan OKU sebagai pemimpin negara?
Dua perkara penting yang perlu diberi keutamaan apabila mahu terlibat dalam dunia kepimpinan. Pertama, keluar daripada zon selesa dan berpandangan positif bahawa kita bukan dilihat menerusi aspek kebajikan semata-mata tetapi mampu memberi sumbangan kepada masyarakat. Kedua, kita perlu mengetengahkan individu normal yang mempunyai pendedahan berkaitan elemen atau isu dihadapi OKU. Mereka mampu menyedarkan dan membuka mata orang ramai bahawa OKU juga patut menerima layanan selayaknya. Apabila individu upaya dan kurang upaya saling berganding bahu, maka kesan serta impak kepada komuniti OKU bertambah baik. Pada pada sama, kefahaman dan kesediaan daripada semua pihak perlu ada serta dilaksanakan dalam platform terbaik iaitu melalui NGO.
Sering kali kita dengar OKU memiliki rasa rendah diri untuk menonjol. Apa pandangan saudara mengenai perkara ini?
Saya tidak nafikan perasaan rendah diri wujud dalam kalangan OKU. Mereka akan rasa rendah diri dengan membandingkan keadaan diri dan sekeliling. Namun, golongan OKU perlu mempunyai kesedaran menerima keadaan diri seadanya jika mahu terus bergerak ke hadapan. Lihat kemahiran dan kelebihan yang ada supaya boleh diketengahkan.
Seterusnya, mewujudkan circle positif yang berperanan menyokong dan memperkasakan nasib golongan OKU. Elemen pemerkasaan OKU, pengupayaan masyarakat perlu diwujudkan, dengan orang awam diberi pendedahan maklumat berkaitan OKU.
Namun, masih ada halangan yang wujud untuk melaksanakan inisiatif ini, antaranya sikap masyarakat yang mempunyai stigma negatif terhadap OKU. Selain itu, kekurangan kemudahan fizikal di setiap fasiliti sedia ada. Kedua-dua halangan ini memberi kesan kepada penglibatan penuh OKU dalam industri.
Sekiranya dua halangan ini dapat dikurangkan, maka penglibatan golongan OKU akan berubah kerana masyarakat dilihat menerima kewujudan mereka termasuk meningkatkan keyakinan serta motivasi.
Masyarakat perlu percaya OKU sepatutnya diberikan peluang dan ruang agar mereka juga boleh menyumbang kepada ekonomi negara.
Boleh kongsi perkara yang menjadi titik tolak dan pengalaman dilalui dalam menjadikan saudara mampu berada pada tahap sekarang?
Secara umumnya, penglibatan saya sebagai pemimpin belia ini bermula sejak zaman sekolah lagi apabila guru menggalakkan saya menyertai program kokurikulum seperti debat dan aktiviti persatuan.
Menerusi penglibatan saya dengan semua program tersebut, ia telah membina keyakinan dan mengasah tahap kepimpinan dalam diri.
Justeru, saya menggunakan peluang yang ada untuk berinteraksi bersama golongan OKU lain dan sehingga kini berjaya menjadi wakil membawa suara serta pandangan mereka kepada pihak berwajib.
Dalam pada itu, faktor persekitaran juga memainkan peranan penting seperti aspek sosial, adakah masyarakat memberikan ruang dan peluang sewajarnya? Adakah masyarakat menghormati peluang diberikan kepada golongan OKU?
Selain akses pendidikan dan pekerjaan, apa lagi perkara penting yang perlu menjadi perhatian khususnya daripada pihak kerajaan?
Pertama, kerajaan perlu mewujudkan rancangan pendidikan mampan. Kita ambil contoh paling dekat iaitu di Singapura, mereka mengenal pasti pelajar OKU yang mempunyai kemampuan tinggi dan menetapkan aliran bersesuaian hingga berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.
Seterusnya, bagi pelajar kurang mahir dalam pelajaran akan diberi pendedahan dari segi pendidikan dan TVET. Apabila tamat sekolah, mereka akan ditempatkan dalam sektor berkaitan kemahiran.
Selain itu, kerajaan perlu melaksanakan satu sistem yang membolehkan setiap OKU mempunyai proses latihan industri untuk membenarkan mereka mempunyai pengalaman dalam bidang pekerjaan.
Tambahan, sekiranya mereka diberi peluang, ia akan meninggalkan kesan positif kepada pembangunan ekonomi setempat. Hal ini kerana apabila mempunyai gaji, mereka tidak perlu bergantung kepada bantuan kebajikan dan mampu melakukan urusan jual beli.