MAJLIS BELIA MALAYSIA

NGO tidak sertai perhimpunan bukti taat setia perintah Agong

197

KUALA LUMPUR 12 Julai – Tindakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak menyertai perhimpunan menentang demonstrasi haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) adalah bukti mereka menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, perkara itu merupakan tanda-tanda positif bahawa rakyat masih taat setia kepada sultan dan raja di bawah pemerintahan negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan.

Katanya, keadaan itu berbeza dengan Bersih apabila tetap mahu berdemonstrasi walaupun secara jelas membohongi Ketua Negara itu dengan membawa penyokong ke jalanan.

“Saya berharap sikap sebegini, dengan menjaga adab dan tertib Melayu terus diperteguhkan oleh semua rakyat.

“Bagaimanapun, kepada pihak yang menganjurkan demonstrasi Bersih, saya harap selepas ini mereka dapat mencari jalan rundingan untuk kebaikan semua selepas hasrat mengadakan tunjuk perasaan hari itu tercapai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengecam penganjur Bersih kerana membohongi Yang di-Pertuan Agong apabila tetap membawa penyokong ke jalanan sekali gus tidak menghormati kedaulatan Seri Paduka sebagai ketua negara yang telah memberikan titah nasihat dan ingatan supaya mereka tidak berbuat demikian.

Dalam pada itu, Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar berkata, perhimpunan haram itu sepatutnya tidak berlaku kerana ia boleh merosakkan keamanan dan perpaduan yang telah sekian lama dikecapi oleh semua kaum.

Katanya, pendapatan dan ekonomi negara terjejas teruk selain memberi gambaran buruk kepada negara luar akibat kekecohan yang berlaku hari ini.

“Inilah akibatnya jika masing-masing hanya mengikut perasaan tanpa mendengar arahan dan tidak mahu menurut perintah raja yang memayungi negara,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, insiden yang menimbulkan keresahan awam tersebut harus dijadikan pengajaran berhubung aktiviti negatif sehingga menyebabkan ramai peniaga tidak dapat menjalankan perniagaan mereka serta melumpuhkan aktiviti hujung minggu rakyat.

“Bagaimanapun kami melahirkan kesyukuran kepada penduduk Malaysia yang tidak menyertai perhimpunan haram ini serta di atas kesabaran pelbagai pihak menghadapi pelbagai kesulitan dan kesesakan lalu lintas,” katanya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »