KUALA LUMPUR 21 Feb. – Pengerusi Gerakan Belia 4B (4B), Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi penggal 2016-2018 apabila menang tanpa bertanding dalam Perhimpunan Agung Tahunan Ke-65 hari ini.
Jawatan Timbalan Presiden yang juga tidak dicabar, kekal menjadi milik Mohd. Zaidi Aziz manakala kerusi Naib Presiden diisi oleh Mohd. Aizad Roslan, Jufitri Joha dan Choo Chung Tiong.
Seramai 359 perwakilan daripada lebih 38 pertubuhan belia mengambil bahagian dalam pemilihan buat kali terakhir bagi takrifan belia 15 hingga 40 tahun sebelum Dasar Belia Malaysia dilaksanakan pada 2018 yang mensyaratkan had umur belia di bawah 30 tahun.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Mua’amar Ghadafi Jamal berkata, beliau akan meneruskan perancangan rapi yang telah dibuat dalam usaha melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis dalam kalangan generasi muda.
Jelas beliau, MBM akan memberi fokus untuk membudayakan semangat kesukarelawan dalam generasi muda kerana amalan murni tersebut dilihat semakin pudar ditelan arus pemodenan.
Katanya, turut diberi perhatian ialah tahap penglibatan golongan belia dalam bidang kemahiran yang begitu kritikal dan bilangan tersebut perlu ditambah seiring dengan hasrat Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020.
“Kita mempromosi dan menggalakkan anak muda untuk masuk ke bidang kemahiran. Bidang ini bukan satu alternatif atau pilihan terakhir sebaliknya perlu dijadikan kursus utama kerana menjadi penggerak utama kepada industri yang menjana ekonomi negara.
“Timbul isu apabila syarikat-syarikat tempatan menggaji pekerja asing dengan alasan kurangnya pekerja mahir dalam kalangan belia Malaysia. Untuk itu, kita meneruskan usaha mempromosi dan menambah baik beberapa program kemahiran bagi melahirkan lebih ramai belia berkemahiran,” katanya di sini.
Mengulas lanjut, Mua’amar Ghadafi Jamal menyarankan syarikat tempatan supaya menjalinkan usahasama dengan institusi kemahiran bagi memastikan pelajar dalam bidang tersebut mendapat pendedahan mengenai teknologi atau peralatan terkini.
Katanya, pelatih kemahiran di negara ini berdepan masalah seperti kurangnya pendedahan tentang teknologi terkini sekali gus menyukarkan mereka mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.
“Kerjasama antara institusi kemahiran dan pemain industri dapat membantu memberi pendedahan kepada pelajar menerusi penggunaan peralatan canggih dan terkini.
“Menerusi langkah ini, lebih ramai belia berkemahiran yang memenuhi kehendak industri dapat dilahirkan,” katanya.
– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mua-8217-amar-ghadafi-kekal-presiden-mbm-1.192948#sthash.OLIVF613.dpuf