KUALA LUMPUR 6 Dis. 2013 – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menyempurnakan acara pelepasan konvoi Ops Banjir dalam misi bantuan mangsa banjir ke empat negeri anjuran Briged Kesatria Muda Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; Naibnya, Khairul Azwan Harun dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Hasan Malek.
Khairy berkata, konvoi yang disertai sebanyak 100 sukarelawan Briged Kesatria Muda sayap tersebut merupakan fasa kedua dalam proses penyaluran bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor.
“Mereka menggunakan sebanyak 30 kenderaan pacuan empat roda dan tiga buah lori bagi membawa sebanyak 4,000 kotak yang mengandungi makanan, ubat dan barangan keperluan diri bernilai RM600,000.
“Misi kali ini turut mendapat kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan,” katanya.
Beliau menambah, kini lebih 1,000 ahli Pemuda UMNO bertugas sebagai sukarelawan di lokasi-lokasi dilanda banjir.
Menurutnya, Pemuda UMNO akan menghantar lebih ramai sukarelawan untuk misi ketiga yang memberi tumpuan kepada pembersihan kediaman mangsa-mangsa banjir.