MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM: Tidak rendahkan martabat kaum India

KUALA LUMPUR 16 Jan. – Novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain tidak mempunyai sebarang motif untuk menghina dan merendahkan martabat mana-mana individu atau kaum di negara ini.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, ia sebaliknya merupakan sebuah penulisan jujur yang sarat dengan pengajaran untuk menjadikan pembaca lebih kritis dan menerima peristiwa sejarah yang mengiringi proses pembentukan negara ini.

“Sehubungan itu, MBM amat kesal dengan tindakan segelintir masyarakat yang mengambil tindakan yang terlalu emosi melebihi akal rasional dalam membantah novel Interlok.

“Malah MBM lebih kecewa sekiranya hal yang sama turut dilakukan atau didorong oleh individu atau pimpinan masyarakat mahupun organisasi demi meraih sokongan dan pengaruh politik sehingga membelakangkan kerukunan hidup masyarakat majmuk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan sesi Perbincangan Meja Bulat Mengenai Isu Novel Interlok: Perspektif Belia Malaysia yang dianjurkan MBM di sini hari ini.

Antara panel yang hadir pada perbincangan itu ialah Sasterawan, Dr. Fatimah Busu, Dekan Fakulti Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Ambigapathy Pandian dan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Mohamad Saleeh Rahamad.

Mohamed Maliki berkata, novel Interlok seharusnya dinilai berdasarkan karya sastera dan nilai kesusasteraan serta kaitannya dengan pembangunan negara.

“Malah kami merasakan pengamatan tajam penulis terhadap persekitaran masyarakat dan hal-hal berkait langsung dengannya merupakan satu nilai yang amat tinggi dan terpuji,” katanya,

Beliau berkata, kritik sosial yang dilontarkan melalui penulisan Abdullah itu mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi dan merupakan panduan kepada generasi yang ingin membangunkan negara.

Katanya, karya sastera seperti itu perlu diperbanyakkan dan didorong sebagai satu sendi kepada pembinaan negara yang lebih baik.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0117&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_14.htm&arc=hive

Mohamed Maliki berkata, kaedah pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan penggunaan novel Interlok perlu diberi perhatian serius agar tidak lagi timbul kekeliruan tafsiran sehingga boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak.

“Jika perlu, mungkin boleh disenaraikan glosari atau rujukan makna bagi perkataan serta ayat yang mungkin kurang difahami oleh generasi muda supaya ia dapat memberikan kefahaman yang mendalam dan sebenar,” katanya

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »